Penganalisis: Tekanan inflasi punca MR DIY jadi pilihan pengguna berbelanja barang harga rendah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penganalisis: Tekanan inflasi punca MR DIY jadi pilihan pengguna berbelanja barang harga rendah

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 21 Mei – Ketika pengguna semakin berhati-hati berbelanja susulan tekanan inflasi, MR DIY Group (M) Berhad dilihat berada di kedudukan strategik untuk terus meraih manfaat, kata penganalisis.


Mereka berpandangan trend pengguna di negara ini mula berubah apabila mencari produk berharga murah tetapi bernilai, dan mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham peruncit perkakasan rumah itu.


Antaranya MBSB Research yang turut mengekalkan harga sasaran (TP) RM2.13, manakala RHB Research meletakkan TP lebih tinggi pada RM2.20 sesaham susulan prestasi suku pertama disifatkan kukuh.


"Kekuatan model perniagaan MR DIY ketika ini disokong oleh pengembangan agresif rangkaian kedai, margin keuntungan yang kekal tinggi, dan keupayaan mengawal kos import," jelas firma tersebut.


Bagi 1QFY26, kumpulan itu mencatatkan hasil RM1.37 bilion, naik 9.3% tahun ke tahun (YoY) manakala keuntungan bersih teras meningkat 10% kepada RM198.4 juta, dengan 54.1 juta transaksi pelanggan.


Situasi urus niaga tersebut menyaksikan pertambahan kira-kira 12.3%, disokong faktor permintaan lebih tinggi sempena musim Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri dalam tiga bulan berkenaan.


Menurut MBSB Research, pertumbuhan MR DIY terus dipacu perluasan rangkaian kedai yang 7.7% kepada 1,584 cawangan setakat 31 Mac 2026, selain proses pemulihan jualan kedai sama (SSSG) kepada 1.6%.


"Prospek syarikat kekal menarik kerana ada laluan pertumbuhan yang jelas untuk mencapai 2,000 kedai menjelang 2028, di samping margin keuntungan kasar (GP) berkembang kepada 48.6%," katanya.


Perkembangan tersebut disokong aktiviti promosi yang lebih berdisiplin, skala perolehan semakin besar serta pengukuhan ringgit berjaya membantu mengurangkan kos import barangan runcit luar.


MBSB Research terus melihat MR DIY sebagai antara pemain defensif pengguna paling kukuh dalam persekitaran ekonomi mencabar, dengan kekuatan aliran tunai operasi dan kedudukan tunai bersih.

 

MR DIY_DagangNews



Keadaan itu ujarnya, membolehkan pembayaran dividen tinggi diteruskan menerusi pengumuman dividen interim pertama 1.6 sen sesaham dengan nisbah pembayaran 79%, lebih tinggi berbanding tahun lalu.


"Berdasarkan kepada keadaan positif tersebut, kadar hasil dividen semasa yang sekitar 4.8% terus menjadi daya tarikan utama kepada pelabur untuk membeli saham kumpulan ini," jelas firma itu lagi.


Sementara itu, RHB Research berpandangan kenaikan harga saham MR DIY masih berpotensi diteruskan kerana syarikat berada pada posisi terbaik mendapat manfaat trend perubahan perbelanjaan pengguna.


Kata firma penyelidikan tersebut, pengguna kini lebih cenderung mencari alternatif harga rendah susulan peningkatan kos tenaga dan tekanan inflasi, dengan syarikat itu mempunyai kelebihan.


Ia mampu mengekalkan harga jualan kompetitif melalui kekuatan rundingan pembekal dan skala operasi besar, di samping pengukuhan margin GP kepada 48.6% juga melebihi panduan pengurusan syarikat.


"Ini didorong faktor tukaran mata wang asing (forex) yang lebih memihak dengan pengembangan MR DIY di Sabah dan Sarawak sebagai pemangkin penting kepada pertumbuhan masa depan," kata RHB Research.


Selain itu, persaingan di kawasan itu lebih rendah serta menawarkan margin keuntungan lebih baik, manakala sekitar 15% pembukaan kedai baharu pada tahun ini akan tertumpu di dua negeri tersebut.

Selain itu, penyertaan lebih meluas dalam program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada kira-kira 250 kedai menjelang separuh pertama 2026 dijangka membantu meningkatkan trafik pelanggan syarikat.


RHB Research juga positif terhadap komitmen MR DIY untuk terus mengekalkan pembayaran dividen yang lumayan dengan disokong program pembiayaan sukuk dan pulangan ekuiti (ROE) semakin berkembang.


Dalam pada itu, CGS International masih mengekalkan saranan 'tambah' dan TP RM2.09 selepas menilai prestasi 1QFY26 sebagai memenuhi jangkaan pasaran, disokong pertumbuhan SSSG yang positif.


"Pelancaran kempen 'Harga Tetap Sama' selama 60 hari mulai 1 Mei 2026 dijangka mengukuhkan lagi daya tarikan syarikat dalam kalangan pengguna yang terkesan peningkatan kos sara hidup," jelasnya.


Sabah dan Sarawak kekal menjadi pemacu pertumbuhan penting apabila 20 kedai baharu dirancang dibuka dengan prestasi jualan mencecah hampir dua kali sasaran berbanding Semenanjung Malaysia.


CGSI berpandangan penilaian saham MR DIY masih menarik kerana diniagakan lebih rendah berbanding peruncit global Dollarama, selain disokong jangkaan hasil dividen 5% bagi FY26 hingga FY28.


Sementara Hong Leong Investment Bank (HLIB) pula turut mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham syarikat itu dengan menaikkan TP kepada RM2.23 berdasarkan prospek pertumbuhan yang terus kukuh.


"Prestasi kukuh 1QFY26 MR DIY disokong faktor perayaan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri, selain pertumbuhan transaksi pelanggan serta penambahan rangkaian kedai yang agresif," ujarnya.


Menurut firma itu, syarikat dijangka mendapat manfaat trend pengguna beralih kepada peruncit nilai rendah, selain keupayaan kecekapan operasi menerusi pengurusan rantaian bekalan yang lebih baik.


HLIB turut positif terhadap strategi perluasan dan program naik taraf kedai bagi meningkatkan trafik pelanggan, dengan sasaran kerja pengubahsuaian 100 kedai sepanjang FY26. - DagangNews.com