Penganalisis persoal usaha Gamuda naik taraf projek hidro Ulu Padas berikutan hasil hanya bermula 2029 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penganalisis persoal usaha Gamuda naik taraf projek hidro Ulu Padas berikutan hasil hanya bermula 2029

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 6 Mei – Langkah Gamuda Berhad menaik taraf projek hidroelektrik Ulu Padas kepada pembangunan tenaga hibrid kini mencetus persoalan dalam kalangan penganalisis.


Dua firma penyelidikan membangkitkan isu impak sebenar kepada pendapatan jangka pendek, memandangkan sumbangan projek tersebut hanya dijangka dapat direkodkan bermula sekitar 2029 kelak.


Bagaimanapun, mereka melihat langkah strategik ini sebagai pemangkin penting kepada pertumbuhan jangka panjang kumpulan itu, khususnya dalam usahanya membina semula aliran pendapatan berulang.


Antaranya, MBSB Research yang mengekalkan saranan 'beli' ke atas Gamuda dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM5.60, sambil mengekalkan statusnya sebagai pilihan utama sektor pembinaan.


"Projek Hidroelektrik Ulu Padas menyaksikan penambahan komponen solar terapung berkapasiti 150MWac ke atas loji hidro 187.5MW, serta menjadikannya sebagai projek RE hibrid," jelasnya dalam nota.


Komponen ini ujarnya, dianggarkan bernilai RM500 juta dari segi kontrak, dengan pegangan pembinaan kumpulan tersebut sebanyak 75%, yang boleh menambah sekitar RM375 juta kepada buku tempahan.


Sumbangan tersebut kata MBSB Research, namun bersifat 'tertangguh' dan hanya dijangka direkodkan Gamuda sekitar 2029 berikutan isu kebergantungan tinggi kepada kemajuan pembinaan empangan hidro.


Walaupun begitu, projek ini dijangka meningkatkan buku tempahannya kepada RM49.7 bilion secara indikatif, selain menyokong strategi memperkukuh hasil berulang melalui pemilikan aset tenaga.


"Kami turut menjangkakan projek ini mampu menjana hasil tahunan melebihi RM450 juta, dengan kira-kira RM200 juta boleh diagihkan kepada kumpulan tersebut berdasarkan pegangan 45%," katanya lagi.

 

Artikel berkaitan: Kerajaan Sabah lulus naik taraf projek Ulu Padas kepada hibrid hidro-solar diterajui Gamuda

 

 

solar

 

Sementara itu, Public Investment Bank (PublicInvest) mengekalkan saranan 'outperform' ke atas saham Gamuda dengan TP turut tidak berubah RM5.60, berasaskan penilaian sum-of-the-parts (SOTP).


Firma itu berkata, projek bersepadu di bawah Upper Padas Power Sdn Bhd (UPPSB), iaitu syarikat usaha sama (JV) tersebut, sudah menerima kelulusan semakan daripada Suruhanjaya Tenaga Sabah.


Di bawah pelan baharu, loji hidro ini dijangka menjana 1,052 GWh setahun, manakala komponen solar pula menyumbang tambahan 300 GWh, dengan tempoh konsesi masing-masing 40 tahun dan 25 tahun.


“Walaupun berpotensi menaikkan kontrak hingga RM500 juta serta mewujudkan aliran hasil berulang, kami mengekalkan unjuran dan menunggu pemuktamadan perjanjian pembelian tenaga (PPA),” katanya.


Menurut PublicInvest, pemeteraian PPA berkenaan dijangka dimuktamadkan semua pihak termasuk Gamuda menjelang akhir 2026, manakala kontrak pembinaan solar hanya dijangka dianugerahkan sekitar 2029.


Ia bersetuju walaupun impak kepada pendapatan jangka pendek adalah terhad, projek ini merupakan langkah strategik penting dalam memperkukuh kedudukan kumpulan tersebut dalam sektor RE.


Selain itu, projek ini melengkapkan saluran RE sedia ada Gamuda termasuk projek di Australia, sekali gus memberikan keterlihatan pertumbuhan jangka panjang yang lebih kukuh. - DagangNews.com