Penganalisis: Pekat sasar segmen pencawang bernilai tinggi, tambah buku tempahan hingga RM200 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penganalisis: Pekat sasar segmen pencawang bernilai tinggi, tambah buku tempahan hingga RM200 juta

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 20 AprilPekat Group Berhad dilihat berpotensi menambah sehingga RM200 juta buku tempahan baharu jika berjaya menembusi segmen pencawang bernilai tinggi, menurut penganalisis.


Mereka berkata, kumpulan itu kini menyasarkan projek pencawang masuk utama (PMU) dan pencawang pembahagian utama (PPU), yang menawarkan nilai kontrak lebih besar berbanding segmen sedia ada.


Antaranya UOB Kay Hian yang berpandangan, prospek syarikat tersebut kekal positif disokong buku tempahan kukuh serta pengisian semula kontrak khususnya segmen solar komersial dan industri (C&I).


"Anak syarikat Pekat, EPE Switchgear kini mempunyai buku tempahan berjumlah RM359 juta, memberikan keterlihatan pendapatan yang baik bagi 2026 hingga 2027," jelas firma tersebut dalam analisisnya.


Selain itu ujarnya, kontrak terbaharu sebanyak RM113.3 juta daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut mengukuhkan kedudukan kumpulan, di samping projek sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS).


Pada masa sama, firma penyelidikan itu menjangkakan segmen peralatan pengagihan tenaga mampu menjana margin yang lebih tinggi sekitar 10%, berbanding purata kumpulan itu hanya 7% hingga 9%.


Secara keseluruhan jelas UOBKH, buku tempahan Pekat kini berada pada paras rekod RM842.5 juta, merangkumi segmen solar, peralatan pengagihan tenaga serta pembumian dan perlindungan kilat (ELP).

 

Pekat_DagangNews


"Kami berpendapat yang tekanan kos daripada kenaikan harga modul solar import masih terkawal, memandangkan syarikat ini mempunyai keupayaan memindahkan kos kepada pelanggan," tambahnya.


Phillip Capital pula mengekalkan saranan ‘beli’ dan harga sasaran (TP) RM1.93, sambil menekankan segmen pusat data (DC) serta pencawang bernilai tinggi merupakan pemangkin utama pertumbuhan.


Menurutnya, Pekat sedang membida dua projek pusat data (DC) di Johor bernilai kira-kira RM100 juta, selain berusaha memperoleh kontrak ELP daripada IJM Corporation Berhad dan Sunway Berhad.


Di samping sumbangan langsung ujar firma berkenaan, projek DC turut merangsang permintaan terhadap segmen BESS serta membuka peluang pendapatan secara berulang melalui kerja-kerja penyelenggaraan.


"Kejayaan memenangi satu hingga dua projek pencawang PMU/PPU boleh menambah peluang sebanyak RM100 juta hingga RM200 juta lagi kepada buku tempahan kumpulan tersebut sendiri," ujar Phillip Capital.


Dengan kepelbagaian perniagaan dan pengembangan ke segmen bernilai tinggi, Pekat berada dalam kedudukan kukuh mengekalkan momentum pertumbuhan bagi tempoh sederhana. - DagangNews.com