Penganalisis menilai sektor teknologi pada 2026 kekal 'neutral' disokong AI dan pendigitalan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penganalisis menilai sektor teknologi pada 2026 kekal 'neutral' disokong AI dan pendigitalan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 8 Jan — Dua firma penyelidikan tempatan masing-masing mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap sektor teknologi Malaysia bagi 2026, dengan pendekatan pelaburan bersifat selektif.


Mereka berpandangan bahawa pertumbuhan tahun ini tidak akan bersifat menyeluruh dan lebih tertumpu kepada segmen tertentu seperti kecerdasan buatan (AI), pusat data (DC) serta pendigitalan.


Maybank Investment Bank menjangkakan pertumbuhan subsektor semikonduktor terus dipacu permintaan berkaitan AI dan DC, manakala segmen automotif dan legasi diramal berdepan risiko penurunan.


"Pendedahan syarikat teknologi Malaysia kepada AI masih terhad di bahagian 'back-end', dan lebih menggemari syarikat 'front-end' yang ada kaitan langsung dengan pengembangan global," katanya.


Sehubungan itu, firma berkenaan memilih syarikat 'front-end' sebagai proksi lebih luas kepada pertumbuhan AI memandangkan sifat keterhadapan pendedahan AI dalam segmen 'back-end' domestik.


Antara pilihan utama Maybank IB dengan saranan 'beli' ialah Frontken dan Northeast, manakala dalam subsektor perisian, ITMAX dan Ramssol dipilih berikutan sokongan dasar pendigitalan kerajaan.


Bagi subsektor perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) pula tambahnya, ia masih lagi kekal dengan pendirian berhati-hati, namun menyukai saham Aurelius Technologies Berhad secara selektif.


"Secara keseluruhan, walaupun perkakasan teknologi berdepan cabaran akibat tekanan tarif, dolar Amerika Syarikat (AS) lemah dan kekurangan pendedahan AI, sektor ini ada lagi nilai," katanya. 


Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) pula melihat beberapa 'titik cerah' berasaskan beberapa tema utama, sebahagiannya disokong oleh Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) Fasa 1.


Antaranya peralihan rantaian bekalan global yang mempercepatkan strategi China+1, serta memberi manfaat kepada segmen perkhidmatan penyumberluaran pemasangan dan ujian semikonduktor (OSAT). 


Malaysia dilihat sebagai alternatif neutral dengan kepakaran analog dan frekuensi radio (RF), dengan penerima faedah utama ialah Malaysian Pacific Industries, Unisem dan Inari Amertron.


"Pengembangan operasi syarikat global di Pulau Pinang mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau, sekali gus meningkatkan permintaan rantaian bekalan kejuruteraan ketepatan," kata HLIB.


Dalam pada itu, penskalaan AI DC mendorong permintaan peranti penerima optikal berkelajuan tinggi 800G ke atas yang akhirnya memberi manfaat besar kepada banyak syarkat teknologi tempatan.


Firma berkenaan turut melihat potensi besar dalam pembungkusan termaju Intel, khususnya dengan pembinaan 'Project Pelican' yang bernilai AS$7 bilion (kira-kira RM28.4 bilion) di Malaysia.


Ia memilih ITMAX, UWC dan Frontken, kerana disokong pertumbuhan pendapatan konsisten, peningkatan aktiviti 'front-end' dan 'back-end', serta permintaan kukuh perkhidmatan pembersihan ketepatan.


"Kami menilai sektor teknologi menunjukkan peluang pertumbuhan pada 2026 dengan akan lebih tertumpu kepada AI, DC, semikonduktor terpilih dan perisian," kata HLIB. - DagangNews.com