Penganalisis menilai segmen hartanah, pelabuhan lemahkan pemulihan hasil IJM Corp pada 2QFY26 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penganalisis menilai segmen hartanah, pelabuhan lemahkan pemulihan hasil IJM Corp pada 2QFY26

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 28 NovIJM Corporation Berhad mencatatkan prestasi bercampur pada 2QFY26, dengan keuntungan bersih teras sekitar RM133 juta, yang menyaksikan peningkatan suku ke suku (QoQ).


Ia namun masih tertinggal daripada jangkaan pasaran berikutan prestasi lemah segmen hartanah dan Pelabuhan Kuantan di Pahang, di sebalik pertumbuhan pesat kerja pembinaan terutama pusat data (DC).


Perkembangan itu mendorong tiga firma penyelidikan untuk mengekalkan saranan masing-masing dengan fokus terhadap pemangkin yang bakal mempercepat pendapatan kumpulan dalam separuh kedua FY26.


Maybank Investment Bank menyifatkan keputusan 2QFY26 sebagai selaras jangkaan, dengan keuntungan bersih teras IJM Corporation menjadikan jumlah pada tempoh 6MFY26 iaitu 42% daripada unjurannya.


"Kami menjangkakan pemecut utama keuntungan akan muncul dalam 2HFY26, apabila pengebilan kemajuan meningkat daripada projek besar seperti kompleks DC di Johor bernilai RM1.4 bilion," katanya.


Firma penyelidikan itu turut menekankan pemulihan kukuh daripada jualan hartanah pada suku kedua kepada sebanyak RM532 juta berbanding hanya kira-kira RM187 juta dicatatkan pada suku sebelumnya.


IJM Corporation juga jelas Maybank IB telah berjaya mencapai sebanyak RM5.3 bilion kemenangan kontrak baharu, sekali gus menghampiri sasaran FY26 untuk mencecah RM6 bilion hingga RM8 bilion.


Sehubungan itu, ia mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM3.18, sambil menyifatkan 'pemain' ini bakal meraih manfaat apabila projek mega negara mula digerakkan secara besar-besaran.


Sementara itu, CGS International melihat keputusan 2QFY26 sebagai mengecewakan, dengan prestasi 1H hanya mencapai 36% daripada unjurannya, walaupun pendapatan meningkat 17% tahun ke tahun (YoY).


"Faktor utama kelemahan antaranya ekoran segmen Pelabuhan Kuantan apabila keuntungan sebelum cukai susut 47% YoY akibat banyak kerja penyelenggaraan daripada pelanggan utama," tambah firma tersebut.


Dalam pada itu katanya, segmen hartanah IJM Corporation menyaksikan margin dan keuntungan jatuh sebanyak 77% YoY termasuk perbelanjaan rosot nilai untuk pelbagai projek syarikat di Britain.


Bagaimanapun, CGSI memuji kekuatan segmen industri kumpulan berkenaan terutama cerucuk dan konkrit apabila terus mencatat pertumbuhan dua angka serta masih stabil pada kadar margin kira-kira 17%.


Kemenangan kontrak RM5.3 bilion setakat ini kekal sejajar sasaran FY26 sebanyak RM6 bilion, dengan  menjangkakan satu lagi projek DC bernilai RM2 bilion bakal dimuktamadkan dalam masa terdekat.


"Kami menurunkan TP daripada RM3.86 kepada RM3.50, tetapi kekal dengan saranan 'tambah' ke atas saham IJM Corporation kerana penilaian yang masih rendah berbanding purata sejarah," katanya.


Dalam pada itu, RHB Research turut melaporkan keputusan 1HFY26 sebagai lemah, dengan keuntungan teras hanya mencapai 41% daripada unjurannya, disebabkan segmen hartanah yang mencatat penurunan.


Firma itu namun optimis terhadap unjuran separuh kedua tahun kewangan dan menyenaraikan beberapa faktor sokongan antaranya segmen pembinaan kekal kukuh dengan untung kasar RM37.3 juta (30% YoY).


Begitu juga segmen industri yang meningkat 9.5% YoY, disokong penghantaran cerucuk dan konkrit siap bancuh yang lebih tinggi, serta segmen tol kembali untung selepas mencatat kerugian pada 2024.


"IJM Corporation mempunyai buku tempahan RM8.4 bilion (domestik) dan RM5.1 bilion (antarabangsa), dengan sejumlah 44% kontrak berkenaan terdiri daripada pelbagai projek DC," kata RHB Research.


Potensi kontrak baharu pula jelasnya, merangkumi projek perumahan penjawat awam Nusantara (RM1 bilion), LRT Pulau Pinang Fasa 2 (RM4 bilion), serta beberapa kompleks industri dan DC tambahan.


Bagaimanapun, firma itu mengurang sedikit TP kepada RM3.43 selepas pelarasan kecil pada unjuran hartanah, tetapi mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham syarikat tersebut. - DagangNews.com