Penganalisis menilai projek di luar Negeri Sembilan tingkatkan hasil Matrix Concepts pada 1HFY26 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penganalisis menilai projek di luar Negeri Sembilan tingkatkan hasil Matrix Concepts pada 1HFY26

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 27 Nov – Sumbangan pelbagai projek hartanah di luar Negeri Sembilan membantu Matrix Concepts Holdings Berhad mencatatkan keuntungan bersih teras 1HFY26 sebanyak RM130.6 juta.


Menurut dua firma penyelidikan tempatan, peningkatan tersebut sejajar dengan jangkaan MBSB Research dan RHB Research, yang masing-masing mewakili 50% dan 52% daripada unjuran penuh tahun. 


Perkembangan positif berkenaan jelas mereka, termasuk pembangunan projek kondominium dua menara 36 tingkat iaitu Levia Residence di Cheras, Kuala Lumpur dan M333 St Kilda di Melbourne, Australia.


Bagi 2QFY26, Matrix Concepts merekodkan keuntungan bersih RM67.5 juta, peningkatan 20.9% tahun ke tahun (YoY) atau 7% suku ke suku (QoQ) walaupun margin kasar merosot daripada 47% ke 37.5% QoQ.


Penyusutan itu akibat margin projek tinggi dan kos pentadbiran yang naik, namun syarikat masih mampu mengumumkan dividen 1.75 sen bagi 2QFY26, menjadikan jumlah dividen 1HFY26 sebanyak 3.5 sen.


MBSB Research dalam analisisnya menekankan pertumbuhan pendapatan kumpulan disokong oleh projek tinggi dan pembangunan Sendayan, serta sumbangan pertama Horizon L&L yang dibeli pada Ogos 2025.

 

Artikel berkaitan: Matrix Concepts catat keuntungan bersih RM67.5 juta bagi 2QFY26, umum dividen interim 1.75 sen sesaham

 

"Jualan hartanah keseluruhan Matrix Concepts pada 1HFY26 sebanyak RM788 juta dijangka berada dalam landasan untuk syarikat mencapai sasaran RM1.6 bilion yang disasarkan sepanjang FY26," katanya.


Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.65, berdasarkan diskaun 22% kepada Nilai Aset Bersih Diselaraskan (RNAV) dan dividen 5.4%.


Selain itu, MBSB Research kekal positif terhadap momentum jualan dan pengiktirafan pendapatan dari MVV City di Negeri Sembilan yang dijangka menyokong keterlihatan pendapatan kumpulan dari FY26.


Sementara itu, RHB Research pula menekankan pertumbuhan pada tempoh suku kedua FY26 didorong oleh banyak projek di luar Negeri Sembilan, termasuk sumbangan pertama Horizon L&L sebanyak RM33.1 juta.


"Walaupun margin kasar pada 1HFY26 menyusut kepada 26% daripada 30% pada 1HFY25 akibat perubahan campuran projek dan peralihan kos tertentu, kami menilai pertumbuhan secara berterusan," jelasnya.


Ini termasuk di Sendayan dan MVV City, dengan ia mengekalkan saranan 'beli' serta TP RM1.72, berasaskan diskaun 25% kepada RNAV tanpa perubahan unjuran jualan dan pendapatan. - DagangNews.com