KUALA LUMPUR 20 Mei – Tekanan kos operasi susulan aktiviti penyelenggaraan lebih tinggi mula memberi kesan besar kepada prestasi PETRONAS Gas Berhad (PGB) terjejas bagi separuh pertama FY26.
Bagaimanapun dua firma penyelidikan tempatan masih lagi melihat prospek syarikat itu kekal bertahan disokong tarif kawal selia yang stabil dan pertumbuhan permintaan gas daripada sektor pusat data (DC).
MBSB Research masih menetapkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM19.25 sesaham, manakala CGS International (CGSI) mengekalkan saranan 'pegang' dengan TP yang tidak berubah iaitu RM18.60.
Kedua-dua mereka bersetuju keputusan kewangan suku pertama tahun kewangan 2026 PGB berada dalam jangkaan pasaran meskipun keuntungan terjejas akibat peningkatan kos operasi dan penyelenggaraan.
Antaranya menurut MBSB Research, penurunan keuntungan berpunca daripada peningkatan perbelanjaan operasi serta aktiviti pembaikan dan penyelenggaraan lebih tinggi dalam segmen pemprosesan gas.
"Segmen pemprosesan mencatat keuntungan kasar 10% kepada RM198 juta akibat kos penyelenggaraan dan susut nilai tinggi walaupun tahap keberkesanan peralatan keseluruhan (OEE) hampir 100%," katanya.
Namun, segmen pengangkutan terus mencatat pertumbuhan hasil kukuh 13.3% kepada RM318 juta disokong pelaksanaan tarif Regulatory Period 3 (RP3) lebih tinggi serta pertumbuhan aset asas selepas RP2.
Ujarnya, segmen regasifikasi menunjukkan prestasi positif apabila hasil naik 6% kepada RM354 juta berikutan peningkatan perkhidmatan penyimpanan di Pengerang, Johor dan pelarasan tarif tinggi.
Dalam segmen utiliti pula tambah MBSB Research, hasil PGB didapati susut kira-kira 13% kepada RM447 juta akibat penurunan harga produk dan semakan turun tarif RP4 elektrik bermula Julai 2025.
"Kami bagaimanapun mendapati keuntungan kasar segmen utiliti meningkat sedikit 2% disebabkan kos gas bahan api yang rendah, sejajar penurunan purata 'Malaysia Reference Price' (MRP)," katanya.
Artikel berkaitan: PETRONAS Gas catat EBITDA RM861.9 juta pada suku pertama 2026, prospek disokong kontrak jangka panjang

Ia melihat penilaian saham masih menarik berikutan prospek pendapatan menerusi tarif RP3 terjamin sehingga 2028 selain pertumbuhan struktur hasil dipacu pengembangan pusat data di Malaysia.
Sementara itu, CGS International berkata keuntungan normalisasi PGB naik 31% suku ke suku (QoQ) berbanding prestasi lemah pada suku keempat FY25 yang terkesan kos penyelenggaraan lebih besar.
Menurut firma penyelidikan itu, kos operasi segmen pengangkutan gas meningkat mendadak pada 4QFY25 berikutan kerja penyelenggaraan pencegahan tambahan selepas insiden letupan di Putra Heights.
"Prestasi bagi suku pertama tahun kewangan 2026 kumpulan ini sebenarnya masih lagi menunjukkan pemulihan operasi yang lebih stabil selepas kos berkaitan penyelenggaraan mula normal," jelasnya.
CGSI turut menekankan isu perkembangan geopolitik semasa dijangka tidak menjejaskan pembangunan terminal regasifikasi ketiga Malaysia (RGT-3) yang disasarkan PGB siap pada separuh kedua 2029.
Jelasnya, pengurusan syarikat itu memaklumkan yang 'floating storage regasification unit' (FSRU) sedang dibina manakala kebanyakan bahan dan peralatan projek diperoleh dalam rantau ASEAN.
Kumpulan berkenaan juga ujar firma penyelidikan berkenaan, dilaporkan sedang berbincang dengan beberapa rakan strategik berpotensi bagi pelaksanaan pembangunan projek RGT-3 dipertingkatkan.
"Walaupun prospek PGB kekal kukuh menerusi pemilikan infrastruktur gas strategik negara dan aliran tunai stabil, kami berpandangan sebahagian besar dicerminkan dalam harga saham semasa," kata CGSI.
Tambahnya, saham kumpulan tersebut ketika ini diniagakan sekitar 20 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) unjuran FY26 dan menawarkan hasil dividen sekitar 4% bagi FY26 hingga FY28.
Ia memberi amaran antara risiko risiko penurunan saham melibatkan tekanan margin dan perubahan tidak memihak terhadap mekanisme dikenali 'incentive-based regulation' (IBR). - DagangNews.com








