PETRONAS Gas catat EBITDA RM861.9 juta pada suku pertama 2026, prospek disokong kontrak jangka panjang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PETRONAS Gas catat EBITDA RM861.9 juta pada suku pertama 2026, prospek disokong kontrak jangka panjang

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Mei – PETRONAS Gas Berhad (PGB) menjangka prospek tahun kewangan 2026 kekal berdaya tahan walaupun berdepan tekanan margin khususnya dalam segmen utiliti, disokong oleh struktur perniagaan berasaskan kontrak jangka panjang serta rangka kerja kawal selia yang stabil.

 

Menurut kumpulan itu, persekitaran operasi 2026 dijangka masih mencabar berikutan ketidaktentuan geopolitik global, tekanan inflasi serta kenaikan kos bahan api, namun kestabilan pendapatan daripada segmen teras dijangka mampu mengimbangi cabaran tersebut.

 

Pengurusan PGB berkata segmen pengangkutan gas, regasifikasi dan pemprosesan gas akan terus menjadi penyumbang utama kepada kestabilan pendapatan kumpulan, disokong oleh kontrak jangka panjang serta struktur tarif kawal selia yang memberikan aliran pendapatan lebih konsisten.

 

Dalam masa sama, segmen Utiliti dijangka kekal mencabar susulan turun naik harga produk serta perubahan kos bahan api yang memberi tekanan kepada margin keuntungan.

 

Bagi 1QFY26, PGB mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah sebanyak RM438.69 juta berbanding RM468.8 juta pada suku tahun yang sama tahun sebelumnya, selaras dengan hasil suku tahunan yang lebih rendah dan peningkatan kos operasi.

 

Pendapatan sesaham turut susut kepada 22.17 sen berbanding 23.69 sen dalam 1QFY25.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu menegaskan operasi asas kekal kukuh apabila mencatat peningkatan keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak 1.2 peratus kepada RM861.9 juta.

 

Hasil kumpulan turut mencatat penurunan kecil 0.6 peratus kepada RM1.585 bilion, terutamanya dipengaruhi oleh kelemahan dalam segmen Utiliti akibat harga produk yang lebih rendah.

 

Walaupun begitu, segmen pengangkutan gas mencatat pertumbuhan hasil kukuh sebanyak 13.3 peratus disokong oleh pelarasan tarif serta rangka kerja Incentive-Based Regulation (IBR), manakala regasifikasi terus mendapat manfaat daripada operasi baharu di Pengerang, Johor.

 

Pengurusan turut menekankan bahawa segmen pemperosesan gas mengekalkan tahap kecekapan operasi tinggi dengan prestasi hampir 100 peratus kecekapan peralatan (OEE) yang menyokong kestabilan operasi kumpulan.

 

Namun begitu, keuntungan keseluruhan terjejas oleh peningkatan kos operasi termasuk susut nilai lebih tinggi serta aktiviti penyelenggaraan dan pembaikan dalam segmen pemprosesan gas selain pendapatan pelaburan dana yang lebih rendah.

 

Dari sudut aliran tunai, PGB mencatat penurunan kepada RM627.6 juta berbanding RM681.8 juta sebelum ini, dipengaruhi oleh peningkatan aliran keluar modal kerja serta perbelanjaan modal yang lebih tinggi.

 

Kumpulan itu turut merekodkan peningkatan hutang kepada RM2.31 bilion berbanding RM1.52 bilion, susulan penerbitan pembiayaan Islamik bagi menyokong keperluan operasi dan pelaburan.

 

Bagaimanapun, kedudukan kewangan kekal stabil dengan jumlah aset RM19.64 bilion dan ekuiti pemegang saham sekitar RM14.22 bilion, disokong oleh aliran tunai operasi yang masih kukuh.

 

Dari segi pulangan pemegang saham, lembaga pengarah mengumumkan dividen interim pertama sebanyak 16 sen sesaham, mengekalkan dasar agihan konsisten kepada pelabur.

 

Secara keseluruhan, PGB menegaskan fokus tahun 2026 adalah kepada pengukuhan daya tahan operasi, pengoptimuman kos serta pelaksanaan strategi pertumbuhan jangka panjang bagi memastikan kelestarian pendapatan dalam persekitaran mencabar. - DagangNews.com