Penganalisis: Kenaikan ketara kos jadi cabaran besar Mah Sing kekalkan pertumbuhan pada FY26 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penganalisis: Kenaikan ketara kos jadi cabaran besar Mah Sing kekalkan pertumbuhan pada FY26

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 1 Sept — Kenaikan ketara kos bahan binaan, perbelanjaan jualan dan pemasaran menjadi cabaran besar Mah Sing Group Berhad mengekalkan pertumbuhan keuntungan FY26, menurut penganalisis.

 

Mereka berpandangan, kumpulan itu perlu berwaspada selepas merekodkan jualan hartanah RM1.32 bilion pada 1HFY26, meningkat 15% dan di landasan untuk mencapai sasaran RM2.76 bilion bagi FY26.

 

Antaranya CGS International (CGSI) yang kekal positif terhadap prospek syarikat, dengan jangkaan prestasi lebih kukuh pada separuh kedua FY26 disokong peningkatan jualan, dan kemajuan projek.

 

"Jualan belum dibil Mah Sing mencecah paras tertinggi sekitar RM3.57 bilion, dan kami menilai keuntungan bersih teras RM139.5 juta bagi 1HFY26 sebagai sejajar dengan jangkaan," kata firma itu.

 

Justeru, ia berkeyakinan sasaran jualan RM2.76 bilion masih boleh dicapai, disokong pelancaran projek yang bernilai RM1.7 bilion sepanjang 2HFY26, termasuk MS Industrial Park @ Kulai di Johor.

 

CGSI turut melihat positif pengambilalihan tanah seluas 5.8 hektar di Ampang, Kuala Lumpur yang bernilai RM186.2 juta, dan akan dimajukan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.92 bilion.

 

Mah Sing_DagangNews2026

 

Firma penyelidikan berkenaan turut mengekalkan saranan ‘tambah’ ke atas saham Mah Sing dengan harga sasaran (TP) RM1.87 sesaham, berdasarkan diskaun 40% kepada nilai aset bersih (RNAV).

 

"Kami pada masa sama juga melihat potensi perniagaan pusat data (DC) dan hartanah industri sebagai pemacu utama pertumbuhan baharu kepada kumpulan ini untuk tempoh jangka panjang," tambahnya lagi.

 

Sementara itu, MBSB Research berkata keuntungan bersih teras kumpulan berkenaan sepanjang 1HFY26 sebanyak RM135.3 juta berada dalam jangkaan, dengan meningkat kira-kira 3.8% tahun ke tahun (YoY).

 

Hasil 2QFY26 naik 16.5% kepada sebanyak RM656.3 juta, dipacu kemajuan projek, tetapi keuntungan bersih Mah Sing didapati susut 0.7% kepada RM67.4 juta susulan kenaikan 31% kos perbelanjaan.

 

Ujarnya, margin keuntungan kasar turut menyederhana kepada 29% daripada 31% pada suku sebelumnya, namun ia mengekalkan unjuran keuntungan FY26 hingga FY28 serta saranan ‘beli’ ke atas saham itu.

 

"Kami tidak mengubah TP iaitu RM1.40, dengan prospek disokong jualan projek M Series, pelancaran baharu dan pengembangan kumpulan ini dalam sektor hartanah industri," jelas nota MBSB Research.

 

Bagaimanapun, peningkatan perbelanjaan telah memberi tekanan kepada keuntungan, dan keadaan ini menjadikan kawalan kos penting bagi memastikan pertumbuhan jualan kepada keuntungan lebih baik.

 

Secara keseluruhan, jualan yang kukuh memberi asas positif pertumbuhan Mah Sing, tetapi kemampuan mengawal kos dan mempertahankan margin akan menjadi penentu prestasi FY26. - DagangNews.com