KUALA LUMPUR 23 Dis - Kadar inflasi Malaysia masih sederhana iaitu 1.4% pada November 2025 mengukuhkan jangkaan yang Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan pendirian dasar monetari semasa.
Firma-firma penyelidikan tempatan turut menjangkakan purata inflasi di negara ini berlegar sekitar 1.4% sahaja dicatatkan sepanjang 2025 sebelum meningkat secara sederhana pada tahun depan pula.
Perkembangan tersebut didorong oleh kesan akibat pusingan kedua daripada perluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), kos berkaitan buruh yang tinggi serta pembaharuan levi pekerja asing.
Inflasi November dilaporkan lebih rendah daripada jangkaan, berikutan kesan pelarasan SST yang kecil daripada anggaran, selain harga komoditi lemah dan rebat bahan api menerusi bil elektrik.
Kenanga Research berkata, faktor seperti SST yang lebih tinggi, levi buruh dan tekanan kos di peringkat syarikat dinilai berpotensi meningkatkan kadar inflasi secara beransur-ansur pada 2026.
"Bagaimanapun secara keseluruhan, paras yang dicatatkan berkenaan sebenarnya didapati masih lagi berada di bawah had atas unjuran rasmi kami sendiri iaitu sebanyak 2%," kata firma berkenaan.
Menurut Kenanga lagi, kestabilan harga makanan dan pengangkutan, di samping penurunan berterusan kos perumahan dan komunikasi, menjadi faktor utama yang dapat mengekang tekanan inflasi nasional.
Jawatankuasa Dasar Monetari BNM dijadual bermesyuarat pada 22 Januari 2026 bagi menetapkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) selepas sesi terakhir pada 6 November 2025 dengan dikekalkan kadar 2.75%.
Sementara itu, Apex Securities menurunkan unjuran pertumbuhan inflasi pada 2026 kepada kira-kira 1.8% daripada 2.0%, dengan mengambil kira kesan pemindahan dasar SST yang masih adalah terhad.
"Paras inflasi pada bulan lalu sejajar dengan purata sejarah lima tahun sebanyak 1.8% bagi tempoh 2020 hingga 2024, selain dalam julat unjuran rasmi kerajaan antara 1.3% hingga 2.0%," katanya.
Meskipun kenaikan duti eksais bagi alkohol dan tembakau meningkatkan harga dalam kategori itu kepada 2.4% tahun ke tahun (YoY) pada November 2025, kesan terhadap inflasi dinilai terbatas.
Kata Apex, ia berikutan pemberat yang kecil dalam indeks harga pengguna, manakala dari sudut dasar monetari, firma tersebut sependapat persekitaran inflasi semasa akan memberi ruang kepada BNM.
Sehubungan itu jelasnya, bank pusat berkenaan dijangka mengekalkan OPR pada paras 2.75% dalam sesi mesyuarat jawatankuasa tersebut pada bulan depan. - DagangNews.com








