KUALA LUMPUR 17 April — Meskipun tidak didedahkan, penganalisis menganggarkan nilai kontrak baharu yang diperoleh Uzma Berhad daripada PETRONAS Carigali Sdn Bhd boleh mencecah RM600 juta.
Nilai besar tersebut menurut dua firma penyelidikan, diramal mampu menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan pendapatan dan keterlihatan hasil syarikat itu bagi tempoh lima tahun akan datang.
Tender itu melibatkan penyediaan peralatan dan perkhidmatan unit tiub bergelung (CTU) di Sabah dan Sarawak, termasuk pengaktifan semula beberapa telaga terbiar serta kerja peningkatan pengeluaran.
Menurut Phillip Capital dalam analisisnya, nilai tiga kontrak diraih Uzma itu, adalah bersamaan kira-kira RM120 juta setahun, dan disifatkan lebih tinggi berbanding paras sejarah susulan ada skop tambahan.
“Penganugerahan secara berulang ini mencerminkan kekuatan rekod pelaksanaan kumpulan tersebut dan memperkukuh kedudukannya dalam ekosistem perkhidmatan telaga PETRONAS sendiri,” kata firma itu.
Berdasarkan perkembangan berkenaan, firma tersebut menganggarkan kontrak itu menyumbang sekitar RM3 juta kepada keuntungan selepas cukai (PAT) bagi FY26, dengan margin bersih pula sekitar 7%.
Sehubungan itu, Phillip Capital terus mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham Uzma dengan harga sasaran (TP) RM1.10, berasaskan 8 kali gandaan unjuran nisbah harga kepada pendapatan (PE) FY27.
Artikel berkaitan: Uzma raih tiga kontrak perkhidmatan telaga PETRONAS Carigali sehingga 2031

Sementara itu, Public Investment Bank (PublicInvest) menganggarkan nilai kontrak PETRONAS Carigali antara RM500 juta hingga RM700 juta, sejajar dengan kontrak CTU terdahulu yang dimenangi syarikat.
"Kami menjangkakan buku tempahan kumpulan ini boleh meningkat kepada sekitar RM4.3 bilion hingga RM4.5 bilion, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan sehingga lima tahun," jelas firma itu.
Pada masa sama ujarnya, kontrak baharu mengukuhkan kedudukan Uzma sebagai antara penyedia utama perkhidmatan telaga kepada PETRONAS Carigali, disokong oleh keupayaan teknikal dan aset sedia ada.
PublicInvest turut menekankan kelebihan syarikat itu yang memiliki lapan unit CTU, iaitu antara yang terbesar di Malaysia, membolehkan pelaksanaan pelbagai operasi intervensi secara serentak.
Justeru, bersandarkan kepada situasi kali ini, firma penyelidikan itu masih mengekalkan saranan 'outperform' dengan TP 56 sen, yang berdasarkan kepada 5.3 kali gandaan PE bagi unjuran FY27.
"Kami berpandangan prospek Uzma adalah kekal positif disokong aktiviti huluan mampan dan harga minyak mentah global yang tinggi, namun risiko industri minyak dan gas (O&G) tetap ada," katanya.
Antara cabaran berkenaan ialah isu peningkatan kos, kelewatan projek serta ketidaktentuan jumlah kerja yang kekal menjadi faktor pemantauan pelabur semasa. - DagangNews.com








