Pengambilan pekerja diunjur perlahan 0.3% selepas pertumbuhan kukuh pada 2025 — TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengambilan pekerja diunjur perlahan 0.3% selepas pertumbuhan kukuh pada 2025 — TA Securities

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 13 AprilPasaran buruh Malaysia kekal stabil dengan kadar pengangguran rendah kira-kira 2.9% pada Februari 2026, namun momentum pengambilan pekerja mula menunjukkan tanda perlahan.


Menurut TA Securities, situasi itu menimbulkan persoalan terhadap pertumbuhan pekerjaan walaupun jumlah penganggur pada bulan tersebut menurun 4.9% tahun ke tahun (YoY) kepada 506,800 orang.


Katanya, pertumbuhan guna tenaga diunjur hanya meningkat secara marginal 0.3% kepada 16.79 juta orang, sekali gus mencerminkan kadar pengambilan yang lebih sederhana berbanding data tahun lalu.


“Trend ini menunjukkan aktiviti pengambilan pekerja mula menyederhana, berkemungkinan disebabkan kesan asas selepas pertumbuhan yang kukuh pada 2025,” jelas firma tersebut dalam nota analisisnya.


Jumlah tenaga buruh pula ujar TA Securities, naik kepada 17.3 juta orang, dengan kadar penyertaan tenaga buruh masih kekal tinggi pada 70.9%, menandakan penglibatan aktif dalam pasaran pekerjaan.


Sektor perkhidmatan terus menjadi pemacu utama guna tenaga, khususnya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit, diikuti oleh sektor makanan dan minuman (F&B) serta komunikasi dan maklumat.


Selain itu kata firma penyelidikan tersebut, sektor pertanian, pembuatan dan pembinaan mencatat pertambahan pekerjaan, manakala sektor perlombongan dan pengkuarian menunjukkan penyusutan.

 

Artikel berkaitan: Kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 24 tahun kekal 10.2% melibatkan 288,700 orang pada Februari 2026 - DOSM
 

kerjaya_DagangNews


"Dari segi kategori pekerjaan, pekerja bergaji merangkumi 75% daripada jumlah guna tenaga dengan 12.59 juta orang, manakala pekerja sendiri meningkat kepada 3.13 juta orang," kata TA Securities.


Penurunan kadar pengangguran secara bulanan ujarnya, menunjukkan pasaran buruh semakin ketat, dengan permintaan tenaga kerja masih mencukupi untuk menyerap kemasukan pekerja yang baharu.


Perkembangan ini tambahnya, mencerminkan kecekapan padanan pekerjaan yang lebih baik serta isu kekurangan lebihan tenaga kerja, sekali gus berpotensi menyokong pertumbuhan gaji secara positif.


Bagaimanapun, TA Securities memberi amaran risiko luaran seperti ketidaktentuan ekonomi global boleh menjejaskan sentimen perniagaan dan seterusnya memperlahankan aktiviti pengambilan pekerja.


"Pasaran buruh di Malaysia namun dijangka kekal menyokong permintaan domestik, didorong oleh isu pertumbuhan ekonomi, dasar kerajaan serta aktiviti berterusan dalam sektor perkhidmatan," ujarnya.


Secara keseluruhan, firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran kadar pengangguran pada 2.8% bagi 2026, dan menilai pasaran buruh Malaysia kekal kukuh dengan kadar pengangguran yang rendah.


Justeru kata TA Securities, momentum pengambilan pekerja yang semakin sederhana menjadi isyarat awal yang perlu diberi perhatian dalam menilai hala tuju ekonomi negara. - DagangNews.com