KUALA LUMPUR 30 Dis - Langkah Powerwell Holdings Berhad mengambil alih 49% ekuiti dalam Tenaga Kenari dijangka tidak menjana perubahan ketara ke atas kumpulan itu, menurut Malacca Securities.
Sebaliknya, firma penyelidikan tersebut menyifatkan kesan transaksi daripada perolehan syarikat yang berpangkalan di Sarawak itu sebagai neutral terhadap pendapatannya, terutama bagi FY26.
Bagaimanapun, ia berpandangan yang usaha itu sebagai langkah strategik dan mampu menstabilkan trajektori pendapatan jangka panjang kumpulan, meskipun tiada kesan besar dalam tempoh terdekat.
"Urus niaga itu juga dinilai agak munasabah kerana diselesaikan sepenuhnya secara tunai dan pada gandaan penilaian setara dengan pemerolehan yang terdahulu," kata Malacca Securities dalam notanya hari ini.
Powerwell baru-baru ini memeterai perjanjian jual beli saham bersyarat bagi memperoleh Tenaga Kenari Sdn Bhd dan Tenaga Kenari Marketing Sdn Bhd dengan jumlah pertimbangan tunai iaitu RM16.7 juta.
Selepas transaksi dimuktamadkan paling lewat pada 31 Mac 2026, dua entiti itu menjadi anak syarikat Powerwell dengan kawalan majoriti lembaga pengarah kumpulan melalui perjanjian pemegang saham.
Artikel berkaitan: Powerwell ambil alih 49% kepentingan Tenaga Kenari di Sarawak bernilai RM16.7 juta
Menurut Malacca Securities, vendor berkenaan turut menyediakan jaminan keuntungan selepas cukai kumulatif sebanyak RM12 juta bagi FY26 hingga FY28, sekali gus mengurangkan risiko pelaburan.
"Kami menjangkakan pengambilalihan ini adalah neutral terhadap pendapatan sesaham dalam jangka masa terdekat, dengan unjuran keuntungan bersih FY26 kekal sekitar RM20.7 juta," tambahnya.
Dari perspektif jangka panjang pula, langkah ini dijangka menyumbang kepada pendapatan lebih stabil bermula FY27, selari usaha Powerwell mengurangkan ketidaktentuan hasil kumpulan itu.
Sebelum ini syarikat tersebut banyak bergantung kepada projek yang berskala besar, namun susulan pengambilalihan tersebut, Malacca Securities menaikkan unjuran keuntungan pada FY27 dan FY28.
Ia masing-masing RM32.2 juta dan RM37.0 juta, yang mencerminkan sumbangan pendapatan selepas pemerolehan, manakala dari segi penilaian, firma itu menyemak naik harga sasaran Powerwell.
"Kami tingkatkan sebanyak 20.3% kepada 77 sen, berbanding 64 sen sebelum ini, berdasarkan gandaan 17 kali nisbah harga kepada pendapatan (PER) ke atas hasil pada pertengahan FY27," jelasnya lagi.
Powerwell sebelum ini sudah mencapai harga sasaran lama, justeru potensi kenaikan selanjutnya kini disandarkan kepada konsolidasi penuh nilai daripada pengambilalihan berkenaan. - DagangNews.com








