Pengambilalihan FP Project kurangkan kebergantungan MCE kepada pembekal luar, kata HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengambilalihan FP Project kurangkan kebergantungan MCE kepada pembekal luar, kata HLIB

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 10 April – Langkah MCE Holdings Berhad mengambil alih FP Project Enterprise Sdn Bhd dijangka menjadi pemangkin utama kepada pengembangan margin kumpulan dalam jangka sederhana.


Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB), pemerolehan syarikat itu oleh subsidiarinya, Eagle MCE Technologies (Malaysia) Sdn Bhd, diyakini mengurangkan kebergantungan kepada pembekal luar.


Usaha itu ujar firma penyelidikan berkenaan, akan mengukuhkan keselamatan bekalan input utama dan membuka aliran hasil baharu memandangkan syarikat diambil alih tersebut sudah mencatat keuntungan.


“Walaupun sumbangan awal dianggarkan kecil, sekitar RM200,000 atau 1% daripada unjuran pendapatan FY26, potensi sebenar terletak pada pengembangan margin," katanya dalam nota analisis hari ini.


Prestasi berkenaan jelas HLIB, dapat diraih MCE melalui strategi pengoptimuman kos dan penskalaan operasi semasa, dengan pertumbuhan perolehan hasil diramal konsisten dalam tempoh jangka panjang.


Artikel berkaitan: MCE tingkatkan pegangan dalam FP Project kepada 80% melalui pembelian saham berharga RM1.9 juta


MCE_DagangNews


Selain itu, firma tersebut berkata, keyakinan pengurusan kumpulan dalam mengembangkan perniagaan FP Project dijangka menyokong pertumbuhan pendapatan secara berperingkat dalam tempoh akan datang.


Tambahnya, kedudukan tunai bersih kumpulan itu sebanyak RM74.4 juta setakat 31 Januari 2026 sudah membolehkan pemerolehan dibuat secara berhemah dengan memanfaatkan aset sinergi operasi sedia ada.


"Di samping itu, hubungan pembekal sedia ada antara kedua-dua pihak turut mengurangkan risiko pelaksanaan serta meningkatkan keterlihatan MCE terhadap integrasi operasinya," kata HLIB lagi.


Sehubungan itu, ia mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas saham kumpulan tersebut dengan harga sasaran (TP) yang tidak berubah pada RM2.38 sesaham, disokong prospek peningkatan kecekapan kos syarikat. 


FP Project jelas firma tersebut merupakan syarikat yang terlibat aktif dalam pembuatan plastik dan fabrikasi alat, serta pembekal utama kepada kumpulan berkenaan. - DagangNews.com