KUALA LUMPUR 10 Nov – Cadangan pengambilalihan sukarela terhadap Apex Healthcare Berhad dinilai sebagai langkah strategik yang mampu membuka fasa pertumbuhan jangka panjang syarikat itu.
Menurut Public Investment Bank, tindakan tersebut dijangka memberi fleksibiliti strategik kepada kumpulan penjagaan kesihatan itu memperkukuh kedudukan serantaunya di bawah kepimpinan baharu.
Firma penyelidikan itu berkata, syarikat berkenaan menerima tawaran pengambilalihan sukarela dan bersyarat daripada Pharmora Investment Holdings Pte Ltd untuk membeli kesemua baki saham biasa.
"Ini membabitkan saham belum dimiliki oleh Quadria Capital Fund III, Dr Kee Kirk Chin, dan Apex Holdings Pte Ltd (AHPL) yang secara kolektif dikenali Penawar Bersama Utama," jelasnya dalam nota.
PublicInvest menilai tawaran yang dikemukakan Pharmora pada harga tunai RM2.64 sesaham itu sebagai menarik, kerana ia turut memberi penilaian sekitar 21 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E).
Jumlah berkenaan katanya, adalah lebih tinggi daripada purata sejarah lima tahun Apex Healthcare sebanyak 18 kali dan menyifatkan langkah tersebut bukan sekadar usaha penswastaan yang biasa.
Sebaliknya, firma itu menyifatkan usaha itu sebagai strategi jangka panjang untuk memperkukuh asas pertumbuhan kumpulan berkenaan di bawah kepakaran pelabur institusi antarabangsa seperti Quadria.
"Sehubungan itu, kami mengekalkan saranan 'neutral' terhadap saham Apex Healthcare, dengan harga sasaran disemak kepada RM2.64, selaras dengan harga tawaran yang diumumkan," kata PublicInvest.
Artikel berkaitan: Apex Healthcare terima tawaran pengambilalihan RM2.64 sesaham daripada CEO dan firma Singapura
Pharmora, merupakan syarikat tujuan khas (SPV) milik penuh Quadria, ditubuhkan bersama Kirk Chin dan AHPL bagi melaksanakan tawaran dengan pembiayaan dijangka datang daripada sumber dalaman.
Keadaan itu katanya, termasuk Quadria sendiri, pelaburan bersama oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan rakan strategik Temasek Holdings, 65 Equity Partners, serta pinjaman bank.
Jelasnya, tawaran ini bersyarat untuk memperoleh sekurang-kurangnya 90% pegangan saham Apex Healthcare, namun akan menjadi tanpa syarat sebaik sahaja mencapai penerimaan 50% saham terbitan.
“Dengan tahap sokongan ini, kemungkinan besar tawaran akan menjadi tanpa syarat dan membawa kepada penswastaan serta penyahsenaraian kumpulan tersebut dari Bursa Malaysia,” menurut PublicInvest.
Selepas pengambilalihan, Quadria akan kekal sebagai pemegang saham utama, manakala AHPL yang dikawal Kirk Chin, dijangka mengekalkan kepentingan efektif sekitar 6% dalam syarikat tersebut.
Ia menegaskan, tujuan utama pengambilalihan ini ialah untuk memudahkan penyusunan semula pemilikan korporat dan meningkatkan keanjalan strategik meneroka peluang pertumbuhan baharu di rantau ini.
Quadria berpangkalan di Singapura, ialah pelabur berpengalaman dalam syarikat penjagaan kesihatan bersaiz sederhana di Asia, dan pernah bekerjasama melalui pelaburan Straits Apex Group pada 2023.
"Apex Healthcare akan dapat memanfaatkan rangkaian dan kepakaran ekuiti swasta berasaskan di Asia, termasuk embangunan perniagaan, rantaian bekalan dan pengembangan pasaran serantau,” tambahnya.
PublicInvest percaya langkah ini akan membuka ruang daya saing jangka panjang, menstruktur semula operasi dengan cekap, serta memanfaatkan sinergi strategik di bawah pemilikan Quadria. - DagangNews.com








