Penduduk bukan warganegara Malaysia dianggarkan 3.38 juta pada 2025 — DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penduduk bukan warganegara Malaysia dianggarkan 3.38 juta pada 2025 — DOSM

Ini merupakan kali pertama DOSM menerbitkan laporan International Migration Statistics, Malaysia 2025 - Gambar BERNAMA
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 24 Dis - Penduduk bukan warganegara di Malaysia dianggarkan mencecah 3.38 juta orang pada 2025, dengan kadar pertumbuhan tahunan menurun kepada negatif 0.5 peratus berbanding 2024, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Berdasarkan laporan International Migration Statistics, Malaysia 2025 yang dikeluarkan DOSM pada Rabu, komposisi penduduk bukan warganegara di negara ini menurun daripada 10 peratus pada 2024 kepada 9.9 peratus pada 2025.

 

“Secara keseluruhan, sebanyak 33 daerah pentadbiran merekodkan komposisi penduduk bukan warganegara melebihi purata nasional 9.9 peratus pada 2025,” menurut DOSM dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ini merupakan kali pertama DOSM menerbitkan laporan International Migration Statistics, Malaysia 2025, selaras dengan United Nations’ Recommendations on Statistics of International Migration and Temporary Mobility 2025 yang menggalakkan negara anggota menyediakan statistik bersepadu dan berterusan merangkumi stok serta aliran migrasi antarabangsa.

 

Mengulas laporan berkenaan, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penerbitan itu menjadi asas kepada pembangunan sistem data migrasi antarabangsa yang lebih tersusun dan konsisten, selari dengan piawaian antarabangsa.

 

Pada fasa awal pembangunan statistik migrasi antarabangsa Malaysia, fokus akan diberikan kepada statistik stok migran, yang merangkumi data komprehensif penduduk bukan warganegara di Malaysia serta warganegara Malaysia di luar negara.

 

“Data stok ini akan terus dipertingkatkan melalui peluasan liputan data dan penambahbaikan metodologi bagi memastikan ketepatan, kebolehpercayaan dan konsistensi,” katanya.

 

Beliau menambah, DOSM akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi berkaitan bagi menyokong penyediaan statistik migrasi antarabangsa yang lebih tepat, menyeluruh dan berguna untuk dasar serta perancangan negara.

 

Menurut DOSM, statistik berkenaan amat penting dalam penggubalan dasar dan perancangan program berkaitan migrasi antarabangsa, selain menjadi rujukan kepada penyelidik dan ahli akademik.

 

Migrasi antarabangsa memainkan peranan penting dalam membentuk struktur penduduk negara, dengan implikasi langsung terhadap pasaran buruh, penyediaan perkhidmatan sosial serta perancangan pembangunan sosioekonomi.

 

“Oleh itu, ketersediaan statistik migrasi antarabangsa yang berkualiti tinggi dan boleh dipercayai adalah penting bagi menyokong penggubalan dasar dan proses membuat keputusan,” menurut kenyataan itu. - DagangNews.com