Pendapatan Optimax pada 1QFY26 dibimbangi lemah berikutan cuti musim perayaan, kata Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendapatan Optimax pada 1QFY26 dibimbangi lemah berikutan cuti musim perayaan, kata Phillip Capital

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 MacOptimax Holdings Berhad dikhuatiri merekodkan hasil suku pertama 2026 lebih lemah secara suku ke suku (QoQ) berikutan cuti musim perayaan mengurangkan hari operasi klinik.


Menurut Phillip Capital, faktor berkenaan dijangka menjejaskan jumlah prosedur yang dilakukan dalam tempoh itu, meskipun prospek jangka sederhana kekal positif disokong pelan pengembangan fasiliti.


Tambahnya, kumpulan itu ketika ini sedang membuat kemajuan positif dalam pembangunan hospital baharu di Kempas dan Selgate yang masing-masing masih dalam fasa pembinaan serta pengubahsuaian.


"Kami yakin, dua hospital di bawah Optimax ini menepati sasaran siap menjelang suku ketiga 2026 sebelum memulakan operasi pada suku pertama 2027," kata firma penyelidikan itu dalam analisisnya.


Selain itu kata Phillip Capital, pusat rawatan ambulatori (ACC) kumpulan di Pantai Indah Kapuk di Jakarta, Indonesia juga menjalani pengubahsuaian dan dijangka mula beroperasi pada awal 2027.


Fasiliti berkenaan jelasnya, akan menerima sokongan khidmat doktor dari Malaysia yang dijadualkan berkunjung secara berkala bagi memastikan ada kesinambungan perkhidmatan dan kualiti operasi.


Dalam perkembangan lain, firma berkenaan turut yakin dengan usaha Optimax merancang melancarkan Juicemax, iaitu kedai makanan, minuman serta suplemen dalaman di ACC Atria pada akhir Mac 2026,


"Langkah ini sebagai strategi bagi memindahkan jualan yang sebelum ini secara dalam talian dan di klinik ke premis fizikal, sekali gus meningkatkan pengalaman pelanggan," jelas Phillip Capital.
 

Optimax


Firma penyelidikan itu namun berkata pada masa hadapan, segmen pembedahan dijangka terus menjadi penyumbang utama kepada hasil kumpulan dengan menyumbang lebih 90% daripada jumlah pendapatan.


Sementara itu, usaha Optimax menceburi perkhidmatan otorinolaringologi atau telinga, hidung dan tekak (ENT) memerlukan perbelanjaan modal (capex) minimum, dengan anggaran kurang RM1 juta.


Keadaan tersebut kata Phillip Capital, memandangkan kumpulan berkenaan akan memanfaatkan pelbagai kemudahan bilik pembedahan yang sedia ada di ACC Atria, tanpa capex tambahan yang lebih besar.


"Pengurusan menyasarkan kadar penggunaan bilik pembedahan meningkat kepada sekitar 60% hingga 70% berbanding hanya kira-kira 50% ketika ini apabila segmen ENT itu mula beroperasi penuh," jelasnya.


Optimax juga merancang membuka dua klinik ENT dalam tempoh tiga tahun melalui pendekatan peluasan secara berperingkat berasaskan prestasi, sama seperti model Neumax yang dilancarkan akhir 2024.


Sehubungan itu, Phillip Capital mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham syarikat ini dan harga sasaran (TP) masih tidak berubah pada 79 sen, berdasarkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) 2026.


Firma penyelidikan itu berpandangan yang penilaian semasa saham kumpulan berkenaan masih menarik lagi kerana didagangkan pada paras satu sisihan piawai di bawah rekod purata sejarah tiga tahun.


"Bagaimanapun, antara risiko utama termasuk kurang perbelanjaan pengguna, kelewatan pelaksanaan pelan pengembangan serta kekurangan pengamal perubatan berlesen," katanya. - DagangNews.com