Pendapatan Muhibbah Engineering dikhuatiri susut selepas konsesi PPIA diserah kepada Kemboja — CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendapatan Muhibbah Engineering dikhuatiri susut selepas konsesi PPIA diserah kepada Kemboja — CGSI

Oleh Amree Ahmad

KUALA Lumpur 20 Nov — Keuntungan Muhibbah Engineering (M) Berhad dijangka berdepan tekanan selepas konsesi Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh (PPIA) diserah kepada kerajaan Kemboja.


Menurut CGS International, model baharu melalui perjanjian pengurusan (MSA) bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Techo di ibu negara tersebut bakal menghasilkan sumbangan keuntungan lebih rendah.


Situasi perolehan kepada kumpulan kejuruteraan itu katanya, adalah berbeza jika dibandingkan dengan konsesi PPIA sebelum ini yang kemudian diserahkan kembali kepada kerajaannya pada Oktober 2025.


"Secara keseluruhan bagi 3QFY25, Muhibbah tetap mencatat keputusan yang memenuhi jangkaan kami, dengan keuntungan bersih teras sebanyak RM11 juta," kata firma penyelidikan itu dalam notanya.


Situasi itu menjadikan jumlah pada tempoh sembilan bulan pertama tahun ini kepada RM52 juta, atau 77% daripada unjuran CGSI, dengan lonjakan hasil syarikat bersekutu adalah 7% tahun ke tahun (YoY).


Perkembangan positif berkenaan jelas firma itu, kekal menjadi penyumbang utama terhadap kumpulan, didorong kenaikan 16% penumpang di lapangan terbang Kemboja yang dikendalikannya sepanjang 9M25.


Bagaimanapun katanya, penyerahan PPIA dan pelaksanaan perjanjian MSA selama tempoh 15 tahun mulai Oktober 2025 dijangka mengurangkan pula sumbangan keuntungan kepada Muhibbah pada suku keempat.


"Terma baharu kurang menguntungkan berbanding struktur konsesi sedia ada, dan kami difahamkan 32% penumpang pada suku itu datang dari China, faktor yang menyokong prestasi selama ini," jelasnya.


Sementara itu kata CGSI, segmen kren merekodkan prestasi kukuh dengan keuntungan sebelum cukai melonjak 318% YoY kepada RM11 juta, disokong buku tempahan RM519 juta sehingga November 2025.


Namun secara sukuan, keuntungan merosot 45% susulan aliran kerja lemah, manakala segmen pembinaan perlahan apabila buku tempahan jatuh kepada RM293 juta, rendah berbanding RM758 juta setahun lalu.


Penyusutan ketara ini jelas firma itu, menjejaskan momentum keuntungan, dan ia mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran RM1.10, menilai saham Muhibbah sebagai kurang diberi penarafan.


"Kami masih menganggap syarikat ini sebagai proksi pemulihan industri pelancongan Kemboja serta potensi peningkatan kerja-kerja kejuruteraan yang berkaitan dengan kontrak PETRONAS," kata CGSI.


Ia menegaskan syarikat perlu segera menambah semula buku tempahan pembinaannya yang semakin mengecil untuk memacu kesinambungan, dan difahamkan usaha pemerolehan tender giat dilaksanakan.


Pemangkin kenaikan termasuk peningkatan ketibaan pelancong dan prestasi keuntungan, manakala risiko utama ialah ketidakupayaan mengekalkan momentum serta kos tinggi bahan mentah. - DagangNews.com