KUALA LUMPUR 30 Okt – RHB Research masih mengekalkan saranan 'beli' terhadap Tasco Berhad, namun menurunkan harga sasaran (TP) sesaham syarikat itu kepada 75 sen daripada 86 sen sebelum ini.
Firma penyelidikan tersebut berkata, langkah berkenaan mencerminkan potensi kenaikan kumpulan perkhidmatan logistik itu sebanyak 50% dan unjuran dividen sekitar 3.5% bagi tahun kewangan 2027.
Jelasnya, keputusan kewangan separuh pertama tahun kewangan 2026 menunjukkan pendapatan teras di bawah jangkaan, disebabkan oleh kadar cukai efektif (ETR) yang lebih tinggi daripada unjuran.
"Walaupun syarikat layak menerima insentif Integrated Logistics Services (ILS), namun prestasi lemah dalam segmen tertentu rantaian bekalan didapati menekan keuntungan," kata RHB Research.
Ia menegaskan keputusan ini mencerminkan cabaran berterusan dalam sektor pengangkutan logistik, di tengah-tengah ketidaktentuan perdagangan global yang menjejaskan prospek pendapatan jangka pendek.
Bagi 2QFY26, hasil Tasco meningkat 4% suku ke suku (QoQ) kepada RM231.6 juta, tetapi masih susut 21.7% tahun ke tahun (YoY), menjadikan jumlah pendapatan 1HFY26 ialah RM454.2 juta (-16.8% YoY).
Keuntungan teras pula kata RHB Research, berjumlah RM8.9 juta (-13.1% QoQ), menjadikan jumlah separuh pertama sebanyak RM19.1 juta (-22.6% YoY), hanya 36% daripada unjuran setahun penuh.
"Keadaan ini menandakan kelemahan margin segmen dan cukai, dengan ETR naik kepada 20.6% berbanding 16.5% pada 1HFY25, manakala prestasi dua bahagian rumusan perniagaan juga mengecewakan," katanya.
Segmen rumusan perniagaan antarabangsa (IBS) jelasnya, merekodkan kejatuhan ketara pendapatan RM100.6 juta (-28% YoY) dengan untung sebelum cukai (PBT) ialah RM4.1 juta (-47% QoQ, -30% YoY).
RHB Research berkata, ia disumbang oleh kelemahan dalam air freight forwarding (AFF) yang susut 61% YoY, berikutan penghantaran rendah daripada pelanggan sektor tertentu antaranya aeroangkasa.
Tambahnya, bagi rumusan perniagaan domestik (DBS), pendapatan suku kedua meningkat 7% QoQ kepada RM131.1 juta, tetapi merosot kira-kira 16% YoY, dengan PBT sebanyak RM9.8 juta (+44% QoQ).
"Kami menyemak turun unjuran pendapatan FY26 hingga FY28 sebanyak 13% hingga 15%, mencerminkan margin lebih rendah dalam segmen penghantaran tertentu serta kadar cukai yang tinggi," katanya.
TP baharu 75 sen masih termasuk premium alam sekitar, sosial dan urus tadbir (ESG) 2%, berdasarkan skor 3.1, melebihi median negara 3.0 dengan penilaian menunjukkan saham Tasco masih kurang nilai.
Risiko utama termasuk kehilangan pelanggan utama dan penyusutan margin operasi, yang boleh terus memberi tekanan terhadap prestasi keuntungan jika keadaan pasaran global tidak bertambah baik.
Secara keseluruhan, walaupun tekanan margin dan cukai tinggi menjejaskan keputusan semasa, RHB Research mengekalkan keyakinan terhadap prospek jangka sederhana Tasco. - DagangNews.com








