KUALA LUMPUR 19 Mac — HE Group Berhad diunjur terjejas pendapatannya pada tahun ini ekoran faktor kelewatan kontrak, kata Phillip Capital dan turut mengurangkan harga sasaran (TP) syarikat itu sebanyak 48 peratus.
Firma penyelidikan itu berkata, syarikat tersebut hanya meraih kontrak baharu bernilai kira-kira RM15 juta setakat tahun ini, jauh di belakang sasaran ditetapkannya sebanyak RM200 juta.
Syarikat berkenaan juga dilaporkan telah mengurangkan anggaran pendapatannya untuk tahun 2025 sehingga 2027 sebanyak 35 peratus.
"Bidaan untuk kerja-kerja sektor semikonduktor kekal lemah kerana pelanggan utamanya menangguhkan rancangan pengembangan ekoran kemelesetan pasaran berpanjangan dan permintaan lebih perlahan merentasi pelbagai pasaran akhir," kata Phillip Capital dalam nota kajian.
Saham HE Group telah jatuh kira-kira 39 peratus sejak awal tahun di tengah-tengah kemerosotan pasaran yang lebih luas dicetuskan oleh ketegangan perdagangan yang semakin meningkat antara Amerika Syarikat (AS) dan rakan dagangan utamanya.
Saham firma-firma semikonduktor di Malaysia juga telah melaporkan penurunan jualan.
HE Group namun masih merupakan saham dengan saranan "beli" oleh Phillip Capital walaupun dengan TP yang dikurangkan sebanyak 44 sen, yang menawarkan keuntungan 35 peratus daripada harga semasanya sebanyak 33 sen.
Syarikat itu kini memberi tumpuan untuk mengembangkan kehadirannya dalam segmen pusat data, yang kini menyumbang 70 peratus daripada buku tendernya yang bernilai RM780 juta, kata Phillip Capital.
Firma penyelidikan itu bagaimanapun berkata, jika dibuat perbandingan dengan buku tender 2024, ia menyaksikan segmen semikonduktor menyumbang 80 peratus daripada bidaan.
Sektor semikonduktor merangkumi hampir semua pesanan tertunggaknya sebanyak RM97.6 juta pada akhir 2024, yang akan ditempah sepenuhnya menjelang 2025, tambah Phillip Capital.
Berikutan semakan terkini, HE Group dijangka memperoleh keuntungan bersih sebanyak RM12 juta untuk 2025 berbanding RM13.7 juta pada 2024.
Syarikat itu juga bagaimanapun menyatakan bahawa keuntungan bersih untuk suku pertama tahun ini mungkin mendatar berbanding suku akhir 2024. - DagangNews.com








