KUALA LUMPUR 26 Nov - Pendapatan e-dagang Malaysia bagi tempoh Januari hingga September 2025 meningkat 1.9 peratus kepada RM937.5 bilion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, hasil tertinggi dicatat pada suku kedua 2025 iaitu RM313.8 bilion sebelum sedikit menurun kepada RM312.6 bilion pada suku ketiga.
Beliau menekankan e-dagang sebagai pemangkin kepada aktiviti perniagaan, yang turut membuka peluang pasaran dengan lebih luas serta meningkatkan lagi tahap daya saing ekonomi digital negara.
"Sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta e-dagang menyumbang 23.4 peratus atau RM451.3 bilion kepada ekonomi 2024, meningkat daripada RM429.3 bilion pada 2023," katanya dalam kenyataan.
Peningkatan ini didorong nilai tambah tinggi dalam industri ICT, termasuk pembuatan ICT sebanyak 38.5%, perkhidmatan ICT (40.1%), perdagangan ICT (15.4%) dan kandungan serta media (6%).
Laporan Penggunaan ICT dan E-Dagang Perniagaan 2024 menunjukkan pendapatan pada 2023 naik kepada RM1.18 trilion, disokong sektor pembuatan (RM587.3 bilion) dan perkhidmatan (RM583.0 bilion).
Transaksi perniagaan kepada perniagaan (B2B) kata Mohd Uzir, kekal dominan dengan RM817.1 bilion, manakala perniagaan kepada pengguna (B2C) pula didapati meningkat kepada RM336.6 bilion.
"Pendapatan domestik mencapai RM1.05 trilion, manakala hasil antarabangsa RM131.1 bilion, sementara perbelanjaan e-dagang turut meningkat kepada sebanyak RM571.4 bilion," jelas beliau lagi.
Situasi berkenaan tambahnya, dipacu menerusi pelbagai transaksi B2B yang sebanyak RM443.4 bilion, dengan momentum lebih tinggi juga bagi B2C dan perniagaan kepada kerajaan (B2G).
Mohd Uzir menambah, transformasi digital Malaysia semakin kukuh dengan infrastruktur komunikasi yang berkembang, termasuk 49.2 juta langganan jalur lebar tetap dan mudah alih.
Liputan 4G sudah merangkumi 98.8% dan 5G pula 82.4%, manakala peningkatan pusat data berskala mega menempatkan Malaysia sebagai hab digital serantau yang inovatif, inklusif dan berdaya saing.
"Selain itu, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), automasi proses, integrasi IoT, perkhidmatan awan dan keselamatan siber turut membantu usaha tersebut," katanya. - DagangNews.com








