KUALA LUMPUR 15 Ogos — Usaha Axiata Group Berhad menjual ekuiti Edotco Group dijangka melonjakkan hasil kumpulan berkenaan sebanyak 21 peratus pada tahun kewangan 2026, menurut Phillip Capital.
Firma penyelidikan itu berkata, pelupusan kepentingan dalam syarikat infrastruktur menara telekomunikasi keenam terbesar di dunia tersebut diramal boleh menjana antara RM4 bilion sehingga RM5.3 bilion.
Unjuran berkenaan tambahnya, berdasarkan nilai perusahaan semasa Edotco dianggarkan mencecah AS$3.5 bilion (kira-kira RM14.7 bilion) yang menguruskan lebih 47,000 menara tersebut di lapan negara Asia.
"Kami yakin dengan hutang Edotco sendiri ketika ini ialah RM6.1 bilion atau 27 peratus daripada jumlah pinjaman kumpulan Axiata, penjualan itu adalah amat baik," kata Phillip Capital dalam notanya.
Justeru firma itu optimis, langkah berkenaan mengurangkan nisbah hutang Axiata sehingga 1.3 kali ganda dan menyediakan kecairan untuk pelaburan semula serta penciptaan nilai kepada pemegang saham.

Selain itu tambahnya, potensi pelupusan tersebut dijangka meningkatkan unjuran pendapatan kumpulan pada tahun kewangan 2027 sebanyak 26 peratus berikutan penjimatan tinggi daripada masalah berkenaan.
Axiata kata Phillip Capital, dijangka dapat memberikan fokus kepada sinergi penyepaduan rangkaian dan sumbangan hasil lebih tinggi menerusi usaha sama kukuh dengan rakannya, XL Smart di Indonesia.
"Bagaimanapun, ia perlu berwaspada dengan risiko keadaan ekonomi serantau, yang boleh melemahkan pendapatan daripada jangkaan awal sekiranya keadaan pasaran telekomunikasi pula merosot," katanya.
Pada Mei 2025, Axiata dilaporkan berkata, hasil daripada potensi pengewangan aset termasuk Edotco, bakal diperuntukkan dalam usahanya mengurangkan lagi pelbagai hutang yang ditanggung syarikat induk.
Berdasarkan kepada perkembangan semasa itu, Phillip Capital mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran sesaham dinaikkan kepada RM2.56 berbanding RM2.08 sebelum ini. - DagangNews.com








