Pencerobohan keselamatan siber boleh jejaskan pertumbuhan Ramssol, kata Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pencerobohan keselamatan siber boleh jejaskan pertumbuhan Ramssol, kata Maybank IB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 29 Okt – Risiko pencerobohan keselamatan siber terhadap aplikasi dan platform digital dikenal pasti sebagai ancaman utama yang berpotensi menjejaskan pertumbuhan Ramssol Group Berhad.


Bagaimanapun menurut Maybank Investment Bank, asas pertumbuhan syarikat itu kekal kukuh selepas mencatat prestasi suku tahunan terbaik setakat ini bagi suku ketiga tahun kewangan 2025 (3QFY25).


Firma penyelidikan tersebut justeru mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran RM1.35 sesaham, disokong oleh momentum jualan yang kuat, terutamanya dalam segmen pengurusan modal insan (HCM).


"Kami juga mendapati Ramssol masih lagi kukuh dalam perkhidmatan rumusan teknologi yang berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan internet benda (IoT)," kata firma itu dalam satu nota kajian hari ini.


Semalam, kumpulan itu merekodkan keuntungan bersih teras RM19 juta bagi sembilan bulan pertama FY25, meningkat 48% tahun ke tahun (YoY) dengan menepati 82% daripada unjuran FY25 Maybank IB.


Pendapatan syarikat berkenaan jelasnya, turut meningkat 41% YoY dipacu oleh pertumbuhan kukuh di Thailand dan pasaran negara lain melebihi 100%, meskipun Malaysia pula mencatat penurunan 9% YoY.


Margin keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) turut mengembang 5.1 mata peratusan kepada 41.7%, hasil campuran produk yang lebih menguntungkan dan jualan lesen HCM.


"Namun margin keuntungan bersih teras Ramssol pula didapati hanya meningkat sedikit kira-kira 1.1 mata peratusan kepada sebanyak 26.3%, akibat perbelanjaan cukai lebih tinggi," kata Maybank IB.


Syarikat turut mencadangkan terbitan khas sehingga 55.2 juta saham baharu atau 12.5% daripada modal saham untuk penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia untuk mengumpul dana RM46.5 juta.


Ia akan dijadikan modal kerja dengan pencairan pendapatan sesaham (EPS) sekitar 13% bagi FY26 dan FY27, selepas prestasi 3QFY25 mencatat hasil tertinggi setakat ini, naik 18% suku ke suku (QoQ).


Maybank IB berkata, keadaan tersebut menyaksikan pendapatan pada suku ketiga meningkat kepada RM29 juta, dipacu faktor permintaan tinggi terhadap perkhidmatan berasaskan AI, IoT dan rumusan HCM.


"Selain itu, kami mendapati margin EBITDA turut melonjak 10.7 mata peratusan QoQ kepada 47.3%, dengan keuntungan bersih teras meningkat 30% QoQ kepada RM7.5 juta," jelas firma penyelidikan itu.


Ia mengekalkan unjuran pendapatan FY25 hingga FY27 tanpa perubahan, sementara menunggu taklimat keputusan pada 30 Oktober 2025, yang sejajar dengan purata rekod tiga tahun hadapan Ramssol.


Pada masa sama, Maybank IB mengingatkan isu pencerobohan keselamatan siber, kebergantungan kepada vendor perisian HCM, serta kenaikan kos pembangunan dan pentadbiran projek boleh memberi kesan.


Impak negatif tersebut tambah firma berkenaan, boleh menjejaskan pertumbuhan dan potensi keuntungan masa depan syarikat itu walaupun masih kekal berada di landasan kukuh. - DagangNews.com