KUALA LUMPUR 28 Ogos – Penarikan subsidi telur ayam sebanyak 10 sen oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memang memberi impak langsung kepada struktur kos QL Resources Berhad.
Bagaimanapun, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Chia Soong Koi, syarikat yakin pelarasan harga secara berperingkat mampu mengekalkan margin keuntungan kumpulan itu dalam jangka panjang.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Chia Soong Koi berkata, syarikat tersebut yakin pelarasan harga secara berperingkat mampu mengekalkan margin keuntungannya dalam jangka panjang.
Justeru, kumpulan berkenaan mengumumkan kenaikan harga telur sebanyak lima sen susulan penarikan balik sepenuhnya subsidi oleh kerajaan bermula 1 Ogos 2025, dalam usaha melindungi margin.
Langkah ini membolehkan syarikat itu memindahkan kos tambahan kepada pengguna tanpa menjejaskan keuntungan dan yakin permintaan kekal kukuh kerana telur masih sumber protein paling mampu milik.
“Dalam jangka masa panjang, penamatan subsidi telur adalah lebih sihat untuk industri ternakan ayam kerana pengeluaran akan kembali sejajar dengan kuasa pasaran,” jelas Soong Kooi pada sidang akhbar.
Kerajaan Malaysia secara rasmi menamatkan pemberian subsidi telur kepada semua syarikat pada 1 Ogos 2025 selepas berusaha mengurangkannya daripada 10 sen kepada lima sen sebiji pada 1 Mei 2025.
Tindakan itu diambil sebagai penjimatan perbelanjaan negara serta mengukuhkan daya saing industri telur tempatan selepas kestabilan harga dicapai berikutan tekanan inflasi global sebelum ini.
Soong Kooi kekal optimis terhadap pasaran telur di Malaysia dengan memetik penurunan harga makanan ternakan dan pengukuhan nilai ringgit sebagai faktor penyokong kepada margin QL Resources sendiri.
Beliau turut menjangkakan harga telur di pasaran Vietnam bakal pulih semula, manakala permintaan di Indonesia dijangka masih lagi kekal dalam keadaan agak lemah untuk tempoh masa yang terdekat.
“Mungkin pada masa hadapan, kami akan mempertimbangkan untuk berkembang ke pasaran Filipina kerana potensinya yang menarik, tetapi, kami juga harus mengambil kira faktor risiko negara,” katanya.
Perniagaan telur berada di bawah segmen penternakan bersepadu QL Resources, dan menjadi penyumbang hasil yang terbesar kepada kumpulan kira-kira 52% bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025.
Suku pertama berakhir 30 Jun 2025, keuntungannya namun merosot 9% secara tahunan, kerana tekanan harga hasil pertanian yang lebih rendah di seluruh operasi ladang akibat sentimen lemah pasaran.
Operasi telur juga terjejas akibat lebihan bekalan bersaiz kecil berikutan pertambahan populasi ayam penelur serta pengurangan subsidi lima sen sebelum ini di bawah mekanisme harga siling.
Dengan keadaan pasaran yang terus berubah, QL Resources terus memantau landskap harga dan permintaan, di samping mempertimbangkan langkah pengembangan strategik di rantau ASEAN.
Terdahulu, beliau menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan ke-28 QL Resources yang turut dihadiri oleh Pengerusi Eksekutifnya, Dr Chia Song Kun dan Ketua Pegawai Kewangannya, Kang Boon Beng.
"Permintaan ke atas telur dijangka meningkat, didorong pertumbuhan sektor pelancongan dan kadar penggunaan tinggi di hotel serta premis makanan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya.
Sementara itu Song Kun berkata, QL Resources turut memperincikan rancangan pengembangan strategik dalam jangka panjang dengan anggaran perbelanjaan modal (capex) sekitar RM500 juta setahun.

Projek-projek utama termasuk pembelian tanah industri, pelan pembangunan baharu serta pembinaan loji berasaskan tanah, dengan pelaburan RM50 juta hingga RM60 juta setahun bagi pertumbuhan organik.
Dalam tempoh yang sama, syarikat telah melaksanakan pengambilalihan strategik, termasuk 80% kepentingan dalam ladang ayam dan pelaburan RM100 juta menerusi segmen perniagaan tenaga hijau.
"Usaha ini selari dengan agenda peralihan tenaga negara kira dengan jumlah keseluruhan perbelanjaan untuk tujuan tersebut dianggarkan sekitar RM300 juta sepanjang tahun lalu," kata Song Kun lagi.
Menyentuh segmen penternakan, QL Resources juga telah melabur dalam penambahbaikan kemudahan, pembinaan bangunan bernilai tinggi serta pelaksanaan sistem pendigitalan bernilai jutaan ringgit.
Syarikat katanya, merancang memperluas operasi sehingga tiga kali ganda dan memusatkan kemudahan simpanan dan seterusnya, produk akan diperluas meliputi produk berasaskan tepung, soya dan ayam.
Strategi itu ujar beliau, dijangka memberi nilai tambah dalam menghadapi tekanan pasaran, susulan
pasaran tepung ikan dikesan antara faktor yang mencetuskan ketidaktentuan dalam rantaian bekalan.
"Ini terutamanya dengan Peru sebagai pengeluar utama dan China pula sebagai pengguna terbesar dunia. Kuota penangkapan serta faktor cuaca turut mempengaruhi harga pasaran ikan global, jelasnya.
Untuk pasaran rantau Asia Tenggara kata Song Kun, QL Resources kini memberi fokus kepada pasaran Indonesia, Malaysia dan Vietnam, dengan populasi besar dan potensi pertumbuhan jangka panjang.
Bagaimanapun kara beliau, kumpulan itu tetap berhati-hati terhadap risiko geopolitik dan persaingan di pasaran seperti Thailand dan Filipina yang penggunanya lebih berbelanja kepada daging ayam.
Sebagai sebahagian penstrukturan semula, syarikat sedang melaksanakan pelupusan aset tenaga serta menjual beberapa asas loji dan tanah yang dijangka memberi hasil positif kepada pemegang saham.
"Langkah ini membolehkan fokus pelaburan kepada sektor lebih strategik dan kekal optimis perkukuh daya saing serta prestasi kewangannya dalam jangka sederhana hingga panjang," kata beliau. - DagangNews.com








