KUALA LUMPUR 14 April – Kenanga Investment Bank Bhd memulakan liputan terhadap Well Chip Group Bhd dengan penarafan “Outperform” serta menetapkan harga sasaran RM2 sesaham.
Harga sasaran itu mencerminkan potensi kenaikan sebanyak 53.8 peratus berbanding harga semasa RM1.30, menunjukkan prospek pertumbuhan kukuh kumpulan pajak gadai tersebut.
Kenanga Investment Bank berkata kelemahan harga saham Well Chip ketika ini dilihat sebagai peluang pengumpulan, disokong oleh asas pendapatan yang kekal kukuh serta prospek pertumbuhan jangka panjang.
Bank pelaburan itu berkata, pengembangan segmen pajak gadai menjadi pemacu utama pendapatan kumpulan, dengan margin lebih tinggi berbanding segmen lain dalam perniagaan mereka.
Kenanga turut menyatakan bahawa sentimen lemah terhadap saham ketika ini tidak mencerminkan kekuatan asas syarikat, sekali gus menjadikan penurunan harga sebagai “accumulation opportunity” bagi pelabur jangka sederhana hingga panjang.
“Kelulusan bagi enam cawangan baharu yang tertangguh sejak penyenaraian syarikat pada Julai 2024 akhirnya diperoleh pada Disember 2025.
“Daripada jumlah itu, empat cawangan akan dibuka di Johor manakala dua lagi di Melaka dengan sasaran siap menjelang akhir tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 (FY2026),” kata Kenanga dalam nota kajiannya.
Walaupun sumbangan awal dijangka bermula pada tahun kewangan 2027, impak lebih ketara kepada pendapatan dijangka pada 2028 seiring dengan peningkatan operasi cawangan baharu tersebut.

Selain itu, pengambilalihan tiga kedai pajak gadai di Perak pada Mei 2025 turut menjadi pemangkin utama pertumbuhan kumpulan.
Pengambilalihan bernilai RM63.4 juta itu dijangka memberi sumbangan segera kepada pendapatan, memandangkan operasi tersebut telah pun matang dan beroperasi secara stabil.
Bagi tahun kewangan 2025, Well Chip mencatatkan lonjakan keuntungan bersih sebanyak 72.4 peratus kepada RM86.1 juta, dipacu oleh prestasi kukuh segmen pajak gadai serta sumbangan daripada operasi baharu di Perak.
Hasil syarikat turut meningkat 21.6 peratus kepada RM270.2 juta, mencerminkan permintaan yang lebih tinggi terhadap perkhidmatan pajak gadai dalam keadaan kos sara hidup yang masih mencabar.
Kenanga mengunjurkan keuntungan bersih Well Chip meningkat kepada RM106.1 juta pada FY2026 dan seterusnya RM118.3 juta pada FY2027, disokong oleh pengembangan rangkaian serta sumbangan penuh aset Perak.
Pertumbuhan ini turut dipacu oleh permintaan berterusan terhadap pinjaman pajak gadai sebagai sumber pembiayaan jangka pendek, khususnya dalam kalangan pengguna berpendapatan sederhana dan rendah.
Menurut Kenanga, walaupun sektor ini sering dipengaruhi oleh pergerakan harga emas, asas pendapatan Well Chip kini lebih stabil dengan kebergantungan yang semakin berkurang terhadap faktor luaran tersebut.
Prospek pertumbuhan syarikat juga dilihat semakin kukuh dengan peluasan rangkaian cawangan dan strategi pengambilalihan aset matang yang memberi kesan serta-merta kepada pendapatan kumpulan. - DagangNews.com








