Penamatan rebat cukai 9% panel solar China beri kesan minimum ke atas Solarvest - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penamatan rebat cukai 9% panel solar China beri kesan minimum ke atas Solarvest - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 Feb — Isu penamatan rebat cukai nilai tambah (VAT) eksport panel solar China sebanyak 9% mulai April 2026 hanya memberi kesan minimum ke atas hasil Solarvest Holdings Berhad.


Sehubungan itu RHB Research berpandangan, kebimbangan ketara pasaran terhadap isu tersebut dinilai sebagai berlebihan dan sudah diambil kira sepenuhnya dalam penilaian saham syarikat berkenaan.


Justeru firma penyelidikan berkenaan mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) yang masih tidak berubah pada RM3.49 sesaham, mewakili potensi kenaikan 44% daripada paras semasa.


"Kami turut menyifatkan penurunan harga saham Solarvest baru-baru ini sebagai peluang kemasukan semula yang menarik menjelang kitaran pertumbuhan baharu," jelasnya dalam nota kajian hari ini.


RHB Research menjelaskan, walaupun penamatan rebat VAT itu dijangka menyebabkan kenaikan sekitar 9% pada harga panel selepas April, syarikat itu sudah mengurangkan risiko kos dengan lebih awal.


Situasi itu jelas firma berkenaan, dilaksanakan melalui tempahan panel pukal 2GW pada harga tetap bagi tempoh selama 18 hingga 24 bulan, yang menyediakan keterlihatan kos kukuh jangka sederhana.


Selain itu, ia menegaskan projek solar berskala besar (LSS) sedia ada Solarvest seperti LSS5 dan LSS5+ turut tidak terjejas memandangkan sebahagian perolehan panel dibuat oleh pemilik projek.


Artikel berkaitan: Solarvest tegaskan kenaikan kos panel solar tidak jejaskan projek, tempahan awal 2GW cukup untuk 18-24 bulan


"Bagi kontrak baharu, kumpulan ini dijangka hanya memindahkan kos panel yang lebih tinggi ke dalam harga kejuruteraan atau model kewangan bidaan, selaras dengan amalan industri," kata RHB Research.


Menurutnya, risiko keingkaran pembekal juga rendah walaupun ada perbezaan antara harga kontrak dan semasa, memandangkan pembekal terdiri daripada pengeluar panel bertaraf tinggi yang tersenarai.


Solarvest jelas firma penyelidikan tersebut, semua pembekalnya di China, memiliki rekod operasi kukuh dan komitmen jangka panjang terhadap reputasi serta hubungan komersial dengan pelanggan.


Di samping itu tambah RHB Research, harga polisilikon yang stabil serta pengukuhan nilai ringgit sebanyak 3.2% berbanding yuan China setakat 3 Februari 2026 dijangka mengurangkan tekanan kos.


"Dari sudut penilaian, Solarvest kini diniagakan pada purata sejarah tiga tahun sebanyak 23 kali, yang dilihat sebagai paras lantai penilaian berikutan prospek pendapatan yang teguh," tegasnya.


Bagaimanapun antara risiko utama dikenal pasti ialah kelemahan kemenangan kontrak, perubahan kos projek tidak dijangka, pergantungan kepada dasar kerajaan dan persaingan industri. - DagangNews.com