Solarvest tegaskan kenaikan kos panel solar tidak jejaskan projek, tempahan awal 2GW cukup untuk 18–24 bulan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Solarvest tegaskan kenaikan kos panel solar tidak jejaskan projek, tempahan awal 2GW cukup untuk 18–24 bulan

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Feb – Solarvest Holdings Berhad menegaskan isu kenaikan kos panel solar susulan penghapusan rebat eksport 9 peratus oleh kerajaan China tidak menjejaskan operasi atau projek syarikat, berikutan langkah mitigasi risiko yang telah dilaksanakan lebih awal.

 

Solarvest dalam satu kenyataan memaklumkan ia telah menandatangani tempahan blanket 2GW dengan pembekal pada harga tetap pada separuh kedua 2025, sebelum pengumuman itu dibuat oleh kerajaan China.

 

“Pembelian yang dibuat adalah mencukupi untuk memenuhi keperluan projek selama 18 hingga 24 bulan akan datang. 

 

“Tempahan ini disokong oleh deposit boleh dipulangkan serta jaminan bank bagi melindungi syarikat daripada sebarang kegagalan pembekal,” katanya dalam kenyataan itu.

 

Solarvest berkata hubungan jangka panjang dengan pembekal yang kukuh memastikan risiko pelaksanaan dan penghantaran adalah minimum. 

 

“Sekiranya berlaku kegagalan pembekal, syarikat boleh mendapatkan semula deposit dan menuntut jaminan bank.

 

“Walaupun harga modul meningkat di peringkat global, strategi perolehan Solarvest dan sokongan nilai Ringgit yang lebih kuat memastikan impak ke atas margin adalah terhad,” katanya.

 

Baru-baru ini, penganalisis bebas mengesahkan tekanan margin syarikat terkawal, dengan penarafan “Beli” dan “Outperform” kekal untuk syarikat.

 

Solarvest mengekalkan strategi pertumbuhan berasaskan EPCC, pemilikan aset, pengambilalihan strategik, dan pembangunan projek di rantau Asia-Pasifik.

 

Syarikat yakin dapat mengekalkan nilai lestari kepada pemegang saham dan menyokong peralihan tenaga bersih Malaysia.

 

Solarvest kini mempunyai portfolio tenaga boleh diperbaharui melebihi 3,200MW di 8 negara, dan sedang mengembangkan usaha dalam hydrogen hijau, penyimpanan bateri, mobiliti rendah karbon, kecekapan tenaga, dan sijil tenaga boleh diperbaharui. - DagangNews.com