Pemulihan PIE masih lemah, hasil susut 37% pada 9MFY25 disebabkan kurang tempahan - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemulihan PIE masih lemah, hasil susut 37% pada 9MFY25 disebabkan kurang tempahan - Maybank IB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 NovPIE Industrial Berhad terus berdepan tekanan keuntungan apabila pendapatan teras bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2025 merosot 37% tahun ke tahun (YoY).


Menurut Maybank Investment Bank, keadaan itu mengakibatkan hasil kumpulan berkenaan dicatatkan hanya RM29 juta, jauh di bawah jangkaan firma penyelidikan tersebut sendiri dan konsensus pasaran.


Katanya, kelemahan tempahan yang kurang selepas isu ketidaktentuan tarif Amerika Syarikat (AS) selesai dan kelewatan dalam penyertaan pelanggan baharu telah mengekang pemulihan yang dijangka.


"Justeru, kami memotong unjuran pendapatan PIE dari FY25 hingga FY27 sebanyak 18% hingga 36%, mencerminkan prospek pertumbuhan yang lebih lembap," kata firma itu dalam nota kajiannya hari ini.


Maybank IB mengekalkan saranan 'pegang' namun harga sasaran lebih rendah iaitu RM2.91 daripada RM3.56 sebelum ini, berasaskan 17 kali unjuran nisbah harga kepada pendapatan (P/E) pada FY26. 


Walaupun hasil PIE pada 9MFY25 hanya susut 2% YoY kepada RM708 juta, keuntungan teras jatuh mendadak disebabkan permintaan lemah segmen perkhidmatan pembuatan elektrik (EMS) jatuh 3% YoY.


Selain itu, kemerosotan dicatatkan dalam segmen jualan wayar dan kabel mentah (-7% YoY) meskipun sumbangan tinggi menerusi segmen 'wire harness' iaitu 61% YoY hanya membantu sebahagian kecil.


"Margin untung kasar mengecil 3.0 mata peratusan kepada 5.0%, manakala margin keuntungan bersih teras merosot kepada 4.2% ekoran kelemahan tempahan daripada pelanggan utama," kata Maybank IB.


Ini tambah firma penyelidikan berkenaan, termasuk pelanggan komputer yang memindahkan tempahan ke rantau lain akibat ketidaktentuan tarif, menjejaskan kecekapan operasi dan volum pengeluaran.


Pada tempoh 3QFY25, hasil susut 11% suku ke suku (QoQ) kepada RM205 juta, dengan keuntungan bersih teras menjunam 44% QoQ kepada RM5 juta, disebabkan permintaan EMS yang lembap iaitu 16% QoQ.


Begitu juga kata Maybank IB, jualan kabel mentah yang lemah dengan merosot 4% QoQ, meskipun PIE masih disokong sedikit oleh kenaikan daripada 'wire harness' apabila mampu bertambah 34% QoQ.


"Kami menekankan pemulihan masih belum kelihatan dalam masa terdekat, namun ia giat mempelbagaikan pangkalan pelanggan termasuk usaha menarik pelanggan baharu dalam segmen pelayan," kata firma itu.


Langkah berkenaan jelas firma berkenaan, bagi mengoptimumkan kapasiti di kilang yang dirujuk sebagai P6, kerana dikenal pasti berpotensi membawa semula hasil tahunan ke paras RM1 bilion.


Sehubungan itu, Maybank IB masih mengekalkan saranan ke atas saham kumpulan berkenaan, sementara menunggu tanda-tanda pemulihan yang lebih jelas dalam jangka sederhana. - DagangNews.com