Pemulihan Malaysian Pacific Industries belum kukuh, peningkatan kos operasi jadi penghalang utama - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemulihan Malaysian Pacific Industries belum kukuh, peningkatan kos operasi jadi penghalang utama - TA Securities

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Mei – Meskipun Malaysian Pacific Industries Berhad (MPI) mencatat pemulihan beransur-ansur dalam segmen automotif serta momentum kukuh dalam perniagaan berkaitan kecerdasan buatan (AI), TA Securities berpendapat faktor itu masih belum cukup kukuh untuk menaik taraf saranan saham tersebut.

 

Firma penyelidikan itu berkata, prospek MPI kini berada dalam fasa pertumbuhan bercampur, disokong oleh pemulihan sederhana dalam segmen automotif serta pertumbuhan lebih pantas dalam segmen AI.

 

“Walaupun sumbangan AI kepada hasil kumpulan meningkat kepada sekitar 13% pada suku ketiga FY26 berbanding 9% setahun lalu, MPI masih berdepan tekanan kos operasi yang ketara.

 

“Antara tekanan utama termasuk pengukuhan ringgit, kenaikan harga bahan mentah seperti emas dan tembaga, serta peningkatan kos operasi seperti elektrik dan logistik,” kata TA Securities dalam nota kajiannya.

 

Firma itu menjelaskan Carsem Malaysia mencatat kenaikan kos elektrik lebih 10%, manakala kos logistik turut meningkat sekitar 10% yang memberi cabaran kepada margin keuntungan kumpulan.

 

Dalam masa sama, TA Securities menyatakan bahawa AI server kini menjadi keutamaan utama kumpulan dan dijangka terus berkembang dalam beberapa suku akan datang, disokong oleh permintaan global yang semakin meningkat.

 

Kumpulan itu turut menyasarkan sumbangan berkaitan AI akan melebihi 20% daripada jumlah jualan pada masa hadapan, sekali gus mengukuhkan peralihan strategi daripada automotif kepada teknologi bernilai tinggi.

 

TA Securities berkata MPI sedang melalui transformasi jangka panjang daripada syarikat berasaskan automotif kepada pemain dalam bidang AI, kenderaan autonomi dan aplikasi berkaitan humanoid, dengan perbelanjaan modal (CAPEX) yang tinggi bagi menyokong perubahan ini.

 

“Dalam perkembangan lain, kilang baharu MPI di Thailand kini sedang melalui proses integrasi dan penjenamaan semula, termasuk pelarasan susun atur operasi bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran dan memperluaskan campuran produk.

 

“Langkah itu dijangka membuka peluang aliran pendapatan baharu kepada kumpulan, berkemungkinan menjelang akhir tahun ini, selain memperkukuh kecekapan operasi serantau,” katanya.

 

TA Securities turut menaikkan unjuran pendapatan MPI bagi FY26, FY27 dan FY28 masing-masing sebanyak 5.3%, 17.2% dan 37.7%, selepas mengambil kira jangkaan pertumbuhan lebih tinggi dalam segmen automotif dan AI.

 

Firma itu juga menaikkan harga sasaran MPI kepada RM44.00 sesaham berbanding RM32.00 sebelum ini, dengan menaikkan gandaan PE daripada 28x kepada 30x, disokong oleh keyakinan terhadap kitaran pertumbuhan AI global.

 

Bagaimanapun, firma tersebut mengekalkan saranan Pegang kerana walaupun prospek bertambah baik, kekuatan pendapatan masih belum cukup konsisten untuk mewajarkan penilaian lebih agresif, selain risiko seperti ketidaktentuan permintaan global, ketegangan geopolitik, turun naik mata wang dan kenaikan harga komoditi yang boleh menekan margin. - DagangNews.com