KUALA LUMPUR 10 Sept – Pemulihan bekalan elektrik ke kompleks fosfat Cahya Mata Phosphates Industries (CMPI) pada 9 September 2025 menjadi pemangkin utama pelan lonjakan jangka sederhana Cahya Mata Sarawak Berhad.
Menurut MBSB Research, penyambungan semula bekalan oleh Syarikat SESCO Berhad selepas lebih setahun terputus sejak 10 Julai 2023, menghapuskan halangan kritikal kepada operasi kumpulan itu.
Langkah berkenaan membolehkan loji tersebut meneruskan kembali proses pengujian dan pentauliahan menjelang sasaran pengkomersialan dalam tempoh suku keempat tahun kalender 2025 (4QCY25).
"Perkembangan ini bukan sahaja mengurangkan risiko pelaksanaan, malah menjadi prasyarat utama kepada sumbangan pendapatan baharu yang dijangka bermula FY26,” kata MBSB Research dalam notanya.
Ia mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran tidak berubah RM1.49, berdasarkan unjuran perolehan EPS sesaham FY26 sebanyak 14.2 sen, sejajar dengan rekod purata dua tahun syarikat.
Firma itu namun menegaskan pengiktirafan hasil masih tergantung kepada penyelesaian pertikaian undang-undang antara CMPI dan SESCO berkaitan Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) pada 2019.
Artikel berkaitan: Selepas dua tahun, bekalan elektrik loji fosfat Cahya Mata disambung semula
Pendengaran kes dijadualkan bersambung pada Mac 2026 dan loji berada dalam fasa pentauliahan yang menghasilkan produk pada tahap komersial, tetapi belum dibenarkan menjana pendapatan rasmi.
"Syarikat ini juga menyasarkan eksport awal ke Jepun, Korea Selatan dan Rusia, sebagai berpotensi tinggi susulan kekangan bekalan global dan permintaan sumber yang bukan dari China," katanya.
Sementara itu tambah MBSB Research, pendapatan kumpulan dijangka terus dipacu oleh permintaan kukuh simen di Sarawak, dengan Cahya Mata Sarawak kekal sebagai pembekal tunggal bahan berkenaan.
Kata firma berkenaan, projek perluasan kapasiti Clinker Line 2 di Mambong, yang dijangka dapat siap sepenuhnya pada 2027, bakal meningkatkan kecekapan kos dan margin keuntungan kumpulan tersebut.
Segmen fosfat mencatat kerugian sebelum cukai sebanyak RM56.2 juta dalam 2QFY25, lebih dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya disebabkan oleh kerugian tukaran asing yang tidak direalisasi.
"Keadaan ini disebabkan pengukuhan ringgit tetapi kami menjangka impak ini bersifat sementara dan tidak berulang secara signifikan kecuali dolar Amerika Syarikat terus lemah," kata MBSB Research.
Dengan pegangan 89% dalam CMPI, Cahya Mata Sarawak diunjur meraih sumbangan hasil kasar sekitar RM150 juta setahun daripada operasi fosfat selepas pengkomersialan penuh pada FY26. - DagangNews.com








