Pemulihan aktiviti pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 bantu sektor pengguna, kata TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemulihan aktiviti pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 bantu sektor pengguna, kata TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 OktTA Securities menjangkakan pemulihan aktiviti pelancongan domestik menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 menjadi pemacu utama kepada momentum sektor pengguna yang positif.


Firma penyelidikan berkenaan menambah, peningkatan pelancong dijangka membantu ekonomi khususnya dalam segmen runcit, makanan dan minuman (F&B), serta produk pengguna bergerak pantas (FMCG).


Malaysia mencatat seramai 15.5 juta pelancong dalam tujuh bulan pertama 2025, naik 10% berbanding tahun lalu, didorong promosi pelancongan, kestabilan politik, dan infrastruktur yang lebih baik.


"Kami melihat ada peningkatan trafik pelawat di lapangan terbang, pusat beli-belah dan lokasi pelancongan utama sebagai pemacu kepada permintaan produk F&B dan runcit harian," kata TA Securities.


Tambah firma itu dalam notanya, syarikat seperti Life Water (saranan 'neutral', harga sasaran (TP) RM1.11) dan Spritzer (neutral, TP: RM2.13) dijangka meraih manfaat daripada pertambahan jualan air botol.


Sementara QL Resources (neutral, TP: RM4.33) melalui rangkaian kedai serbaneka 24 jam secara francais, FamilyMart diunjur terus menarik ramai pelanggan yang mencari format pembelian segera. 


TA Securities juga menilai Oriental Kopi (jual, TP: RM1.03) kemungkinan masih lagi mendapat banyak manfaat trafik jangka pendek, namun kekal terdedah kepada tekanan margin yang menjejaskan untung.


"Kami turut melihat terdapat kekuatan berterusan dalam sektor runcit, dengan jualan runcit Malaysia meningkat 5.0% tahun ke tahun (YoY) kepada RM67.33 bilion pada Ogos 2025," jelas firma itu lagi.


Tambahnya, segmen bukan khusus yang mencatatkan peningkatan 5.6% YoY, manakala makanan, minuman dan tembakau bertambah sebanyak 5.5% YoY diramal terus menjadi penyumbang utama sektor berkenaan.


Gabungan kadar pengangguran rendah (3.0%), pertumbuhan pekerjaan (3.1% YoY), serta inflasi yang terkawal (1.3% YoY) menurut TA Scurities, juga membantu mengekalkan kuasa beli isi rumah.


Peruntukan tambahan dalam Belanjawan 2026 bagi bantuan tunai kepada rakyat dijangka meningkatkan pendapatan boleh guna kumpulan B40 dan M40, serta memacu permintaan pengguna menjelang akhir 2025.


"Aeon (beli, TP: RM1.77) terus menjadi pilihan utama kami dalam sektor ini, dengan kekuatan pada kedudukan pasaran massa dan sumber pendapatan stabil daripada sewaan ruang niaga," kata firma itu.


Dalam ruang F&B, TA Securities menjelaskan penurunan harga gandum (-9.1% YoY) dan gula mentah (-18.7% YoY) memberikan kelegaan kepada pengilang makanan, tetapi tekanan kos input masih wujud.


Syarikat seperti Hup Seng (neutral, TP: RM0.92) kekal sensitif terhadap harga minyak sawit mentah, manakala syarikat minuman menghadapi risiko penyusutan margin jika harga kopi terus meningkat.


Pada masa yang sama kata firma berkenaan, kejatuhan harga resin plastik (-8.5% YoY) membantu dalam mengimbangi kos pembungkusan produk botol bagi pemain seperti Spritzer dan Life Water.


"Kami mengekalkan saranan 'positif' terhadap sektor pengguna secara keseluruhan, dengan fokus kepada syarikat yang ada pendedahan tinggi kepada trafik pelancong dan berdaya tahan," katanya.


Tambahnya, dengan pemulihan aktiviti pelancongan domestik, dasar fiskal mesra rakyat dan kos input yang lebih stabil, sektor pengguna dijangka terus mengukuh menjelang 2026. - DagangNews.com