KUALA LUMPUR 21 Okt - Unisem (M) Bhd diramal terus berdepan tekanan margin bagi tempoh antara enam hingga sembilan bulan akan datang berikutan proses pemindahan operasi daripada kilang lamanya di Simpang Pulai ke fasiliti baharunya di Gopeng, kata CGS International.
Katanya, proses penstrukturan dan penyatuan operasi itu dijangka memberi kesan sementara terhadap kecekapan pengeluaran dan margin keuntungan kumpulan, walaupun dalam jangka panjang ia bakal memberikan penjimatan kos yang ketara.
“Kami percaya keuntungan Unisem akan terus tertekan dalam tempoh enam hingga sembilan bulan akan datang disebabkan pemindahan operasi dari Simpang Pulai ke Gopeng.
"Walaupun kilang Gopeng mempunyai ruang lantai sekitar 50% lebih besar, tahap penggunaannya masih rendah,” katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, setakat separuh pertama tahun kewangan 2025 (1HFY25), kilang Gopeng hanya menyumbang antara 100% hingga 15% daripada hasil jualan Unisem berbanding tahap penggunaan kapasiti antara 55% hingga 60% di Simpang Pulai.
Katanya, jumlah itu adalah jauh ketinggalan berbanding kemudahan kumpulan di Chengdu, China yang mencatat penggunaan lebih 85% dan menyumbang kira-kira dua pertiga daripada hasil kumpulan serta keseluruhan keuntungan bersihnya.
“Walaupun terdapat sedikit peningkatan kadar penggunaan di Simpang Pulai pada 3QFY25, kami menjangkakan 4QFY25 kekal mencabar kerana Unisem masih dalam proses memindahkan pelanggan sedia ada ke kemudahan baharu di Gopeng dalam tempoh dua hingga tiga suku lagi," katanya.
CGS International berkata, Unisem Malaysia hanya akan mencapai tahap pulang modal paling awal pada separuh kedua tahun kewangan 2026 (2HFY26), apabila proses pemindahan selesai sepenuhnya dan kadar penggunaan kilang Gopeng meningkat.
Bagaimanapun, prospek jangka sederhana syarikat kekal positif, didorong oleh rancangan pelanggan utama di Chengdu untuk meningkatkan jumlah pengeluaran di fasiliti Gopeng pada FY26, sekali gus dijangka menjadi pemangkin pemulihan keuntungan menjelang akhir FY26.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "kurang" dengan harga sasaran (TP) baharu sebanyak RM1.90 sesaham.
Bagaimanapun, ia menaikkan unjuran pendapatan kumpulan bagi FY26 dan FY27 berikutan jangkaan pemulihan margin operasi selepas proses penyatuan operasi selesai. - DagangNews.com








