Pemegang unit KIP REIT luluskan pengambilalihan empat hartanah industri bernilai RM98.3 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemegang unit KIP REIT luluskan pengambilalihan empat hartanah industri bernilai RM98.3 juta

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 23 Jan - KIP Real Estate Investment Trust (KIP REIT) mengumumkan, pemegang-pemegang unitnya telah meluluskan cadangan pengambilalihan empat hartanah industri bernilai RM98.3 juta.

 

Menurut KIP REIT, hartanah-hartanah yang terletak di Selangor, Sarawak dan Johor itu secara keseluruhan menawarkan keluasan boleh disewa bersih melebihi 650,000 kaki persegi. 

 

"Kumpulan telah berjaya mendapatkan perjanjian pajakan induk jangka panjang untuk empat hartanah industri ini, yang melibatkan kenaikan sewa setiap tiga tahun bagi memastikan pertumbuhan yang mampan. 

 

"Aset-aset ini dijangka memberikan hasil sewa antara 6.6% hingga 7.6%," jelas dana pelaburan hartanah itu semasa Mesyuarat Agung Luar Biasa hari ini, dalam satu kenyataan.

 

Katanya, pengambilalihan itu akan dibiayai sepenuhnya melalui pertimbangan tunai, mencerminkan kedudukan kewangan kukuh KIP REIT. 

 

Langkah strategik tersebut meningkatkan daya tahan KIP REIT terhadap turun naik pasaran sambil memperkukuhkan lagi kepelbagaian geografi dan sektor. 

 

Ia juga selaras dengan strategi jangka panjang kumpulan untuk memperluas pendedahan kepada hartanah industri yang tinggi permintaan sambil mempertingkatkan kepelbagaian portfolio. 

 

"Setelah selesai, nilai portfolio hartanah KIP REIT dijangka mencapai RM1.5 bilion, dengan jumlah keluasan boleh disewa bersih berkembang kepada 3.1 juta kaki persegi," ujarnya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KIP REIT, Valerie Ong berkata, pihaknya gembira kerana mendapat kelulusan untuk pengambilalihan tersebut, yang menandakan langkah penting dalam perjalanan untuk mengembangkan dan mengukuhkan portfolio kumpulan. 

 

"Pelaburan strategik ini bukan sahaja akan meningkatkan nilai pemegang unit, tetapi juga memberikan pulangan yang stabil dan mampan.

 

"Seiring dengan perkembangan permintaan pasaran, KIP REIT terus komited untuk mengenal pasti aset strategik yang memberikan hasil tinggi, yang akan memacu pertumbuhan dan pulangan jangka panjang bagi para pemegang saham," jelasnya. - DagangNews.com