Pemegang saham Y&G Corporation luluskan 3 usul pembelian tanah bernilai RM477 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemegang saham Y&G Corporation luluskan 3 usul pembelian tanah bernilai RM477 juta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 8 JanY&G Corporation Berhad mengesahkan kesemua tiga resolusi biasa pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) diluluskan sebulat suara 21 pemegang saham tidak berkepentingan.


Proses pengundian berlangsung di Hotel Crystal Crown, Pelabuhan Klang, Selangor dengan keputusan itu turut disahkan oleh pemeriksa bebas yang dilantik kumpulan berkenaan, Sharepolls Sdn Bhd.


Antara resolusi yang diluluskan melibatkan pengambilalihan tanah di Sepang oleh anak syarikatnya, Nusa Wibawa Sdn Bhd, seluas 38.45 hektar daripada Nurani Saujana Sdn Bhd dengan nilai RM206 juta.


"Turut disokong ialah pembelian tanah di Kuala Selangor, oleh subsidiarinya, Duta Asiana Sdn Bhd  daripada Asian Regal Holdings Sdn Bhd," kata Y&G Corporation dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini. 


Aset itu seluas 148.52 hektar bernilai RM189 juta, manakala usul ketiga dipersetujui mereka ialah pembelian 100% ekuiti iaitu sejuta saham biasa dalam Konsep Wawasan Sdn Bhd pada harga RM82 juta.


Ia akan diperoleh oleh kumpulan berkenaan sendiri daripada Datuk Yap Jun Jien dan Yap Jun Wei, dengan jumlah nilai keseluruhan untuk transaksi ketiga-tiga pengambilalihan tersebut adalah RM477 juta.


Syarikat itu yang ditubuhkan pada 1965 pernah dikenali sebagai Merces Holdings Berhad sebelum diubah kepada nama sekarang pada 2008, serta terlibat dalam aktiviti pembinaan dan pengurusan hartanah.


"Keputusan EGM tersebut jelas syarikat berkenaan menandakan lanjutan strategi untuk pengembangan aset tanah dan pelaburan strategik di Selangor dan kawasan-kawasan yang lain," kata Y&G Corporation.


UOB Kay Hian Securities (M) Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat bebas kepada pengarah dan pemegang saham yang tidak berkepentingan bagi ketiga-tiga cadangan tersebut. - DagangNews.com