Pemegang saham terbesar saman PRG Holdings sebanyak RM21.2 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemegang saham terbesar saman PRG Holdings sebanyak RM21.2 juta

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 2 Julai - PRG Holdings Bhd berdepan tuntutan statutori berjumlah RM21.22 juta daripada pemegang saham terbesarnya, Datuk Ng Yan Cheng susulan pertikaian berterusan membabitkan anak syarikatnya dan sebuah pemaju hartanah yang dikaitkan dengan Ng.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, PRG berkata, syarikat itu menerima tuntutan berkenaan pada 30 Jun lalu daripada firma guaman Messrs Yap Siew Yee & Co yang bertindak bagi pihak Ng, yang memiliki 16.39% pegangan dalam syarikat itu.

 

Jumlah tersebut melibatkan pendahuluan yang sebelum ini didakwa diberikan oleh Ng sebagai modal kerja dan direkodkan sebagai amaun terhutang kepada pemegang saham.

 

Ng memberi tempoh 21 hari kepada PRG untuk menjelaskan jumlah berkenaan, dan sekiranya gagal, beliau boleh memulakan prosiding penggulungan terhadap syarikat itu.

 

Tuntutan itu dibuat selepas anak syarikat PRG, Premier Construction (International) Sdn Bhd (PCI), mengeluarkan tuntutan berasingan sebanyak RM64.24 juta terhadap Premier De Muara Sdn Bhd (PDM), sebuah pemaju hartanah yang dikaitkan dengan Ng, bagi bayaran tertunggak untuk projek pembinaan yang telah disiapkan.

 

Tempoh akhir pembayaran bagi tuntutan itu juga telah tamat.

 

Picasso Residence

PCI, selaku kontraktor utama bagi projek Picasso Residence milik PDM, sebelum ini mencadangkan penyelesaian hutang menerusi pemindahan 12 unit kediaman bernilai RM13.37 juta sebagai sebahagian pembayaran balik, manakala baki RM23.44 juta akan dirundingkan kemudian.

 

Bagaimanapun, cadangan itu dibatalkan pada 19 Mei 2026 selepas timbul kebimbangan berhubung hubungan yang tidak didedahkan antara PDM dan Ng, yang mempunyai kepentingan ekuiti dalam syarikat pemaju berkenaan.

 

Susulan tekanan daripada pemegang saham kedua terbesar PRG, Datuk Sheah Kok Fah yang memiliki 8.14% pegangan dalam syarikat itu, lembaga pengarah melantik PKF Covenant Sdn Bhd untuk menjalankan semakan bebas terhadap transaksi antara PCI dan PDM.

 

Semakan tersebut akan menilai kewajaran urus niaga berkenaan, potensi kesan kewangan terhadap PRG dan pemegang saham minoriti, pengaturan pembiayaan projek serta isu tadbir urus.

 

Kajian itu dijangka mengambil masa kira-kira 12 minggu, dengan draf laporan dijangka siap dalam tempoh 10 minggu selepas semua maklumat yang diperlukan dikemukakan. - DagangNews.com