Pemegang saham terbesar NexG, Ishak Ismail peroleh opsyen beli ke atas saham milik Hanifah Noordin | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemegang saham terbesar NexG, Ishak Ismail peroleh opsyen beli ke atas saham milik Hanifah Noordin

KUALA LUMPUR 22 April – Pengerusi Eksekutif NexG Bhd, Datuk Ishak Ismail kini mempunyai laluan tambahan untuk meningkatkan kawalannya dalam syarikat itu selepas memperoleh opsyen beli ke atas keseluruhan pegangan saham milik Timbalan Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Datuk Abu Hanifah Noordin.

 

Pada masa sama, Abu Hanifah turut diberikan opsyen jual yang membolehkannya menjual pegangan sama kepada Ishak pada terma yang telah dipersetujui bersama, menjadikan struktur perjanjian itu bersifat dua hala.

 

Makluman kepada Bursa Malaysia pada 21 April 2026 menunjukkan Abu Hanifah telah memberikan opsyen beli kepada Ishak melibatkan 323.71 juta saham, bersamaan keseluruhan pegangan langsungnya sebanyak 9.278% dalam NexG Bhd.

 

Dalam masa yang sama, Ishak turut memberikan opsyen jual kepada Abu Hanifah ke atas jumlah saham yang sama serta pada terma yang sepadan, sekali gus mewujudkan mekanisme saling bergantung antara kedua-dua pihak.

 

Opsyen tersebut dibahagikan kepada tiga tranche, dengan 97.4 juta saham ditetapkan pada harga 50 sen sesaham, manakala baki 226.31 juta saham berada dalam julat harga antara 55 sen hingga 80 sen sesaham.

 

Secara asasnya, opsyen beli memberi hak kepada Ishak untuk membeli saham pada harga yang dipersetujui dalam tempoh tertentu, manakala opsyen jual memberi hak kepada Abu Hanifah untuk menjual saham pada harga yang sama di bawah syarat perjanjian.

 

Sekiranya dilaksanakan sepenuhnya, struktur ini akan membolehkan Ishak memperoleh keseluruhan pegangan Abu Hanifah, sekali gus meningkatkan lagi kedudukan kumpulan yang sejajar dengan blok pemegang saham terbesar dalam NexG.


 

solar
Datuk Ishak Ismail (kanan) berbual dengan Datuk Abu Hanifah Noordin pada majlis Aidilfitri anjuran NexG baru-baru ini di Putrajaya. - Gambar NexG Berhad

 


Bagaimanapun, Ishak sebelum ini menjelaskan beliau tidak boleh secara langsung membeli saham tersebut jika ia menyebabkan pegangan beliau melebihi paras 33%, yang akan mencetuskan kewajipan membuat tawaran am mandatori (mandatory general offer, MGO) di bawah peraturan pengambilalihan.

 

Dalam temu bual bersama The Edge Malaysia Weekly yang diterbitkan awal bulan ini, Ishak berkata terdapat individu lain yang sebelum ini memegang opsyen ke atas pegangan Abu Hanifah, iaitu pengasas Bestinet Sdn Bhd, Datuk Aminul Islam Abdul Nor.

 

Beliau berkata Aminul mempunyai opsyen beli ke atas blok saham tersebut yang dianggarkan sekitar 10%, namun meragui opsyen itu akan dilaksanakan kerana kosnya yang tinggi (dianggarkan sekitar RM200 juta).

 

Menurutnya, kumpulannya sudah memiliki sekitar 28% pegangan, justeru pembelian 10% oleh Aminul itu tidak akan mengubah struktur kawalan NexG, selain dianggap tidak mempunyai justifikasi yang kukuh untuk dilaksanakan.

 

Perkembangan ini berlaku kurang sebulan selepas Ishak dilantik semula sebagai Pengerusi Eksekutif NexG, manakala Abu Hanifah diberi peranan sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif, walaupun beliau kekal sebagai Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan.

 

Ishak kini muncul sebagai pemegang saham terbesar NexG secara tidak langsung melalui Raya Aviation Holdings Sdn Bhd serta pegangan yang dikaitkan dengan ahli keluarganya, dengan jumlah sekitar 23.717%.

 

Sementara itu, Abu Hanifah masih memegang 9.278% pegangan langsung serta tambahan 0.301% pegangan tidak langsung melalui anak-anaknya.

 

NexG Bhd, yang sebelum ini dikenali sebagai Datasonic Group Bhd, merupakan satu-satunya pembekal buku pasport dan produk berkaitan MyKad di Malaysia, dan terus berada di bawah perhatian susulan dakwaan berkaitan perebutan kuasa dan isu tadbir urus dalaman.

 

Syarikat itu memaklumkan ia telah menjalankan semakan dalaman meliputi isu reputasi serta kerugian pelaburan terdahulu bagi menilai kesan perkembangan semasa.

 

Saham NexG Bhd meningkat empat sen atau 15.09% kepada 30.5 sen pada penutupan dagangan Selasa, dengan permodalan pasaran syarikat kini berada sekitar RM1.13 bilion. - DagangNews.com