KUALA LUMPUR 7 Jan - Pemegang saham Rexit Berhad bersetuju secara sebulat suara untuk menukar nama syarikat itu kepada OpenMove AI Berhad pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang diadakan.
Resolusi khas tunggal tersebut menerima kelulusan 100% undian apabila kesemua 19 pemegang saham yang mewakili 76,646,214 saham memihak kepada cadangan perubahan nama syarikat berkenaan.
EGM di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor itu dihadiri semua anggota lembaga pengarah dan diuruskan melalui pengundian, yang disahkan Quantegic Services Sdn Bhd, sebagai pemeriksa bebas.
"Ia menandakan langkah strategik dalam memperkukuh identiti korporat dan menyelaraskan pelaksanaan insentif jangka panjang bagi memacu pertumbuhan syarikat," maklum Rexit kepada Bursa Malaysia.
Selain usul perubahan nama tersebut, EGM berkenaan yang berlangsung hari ini, juga meluluskan lapan resolusi biasa lain berkaitan dengan pelaksanaan beberapa Pelan Insentif Jangka Panjang (LTIP).
Perancangan itu tambah kumpulan tersebut, merangkumi Skim Opsyen Saham Pekerja (ESOS) dan Pelan Hadiah Saham, yang membabitkan sehingga 10% daripada seluruh jumlah saham diterbitkan oleh syarikat.
Lapan resolusi itu termasuklah peruntukan LTIP kepada ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan kanan, antaranya Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Rexit Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.
"Turut akan menerima peruntukan di bawah pelan tersebut ialah Timbalan Pengerusinya Chua Oou Chuan, dan Ketua Pegawai Eksekutif, Lee Choon Teng," tambah kenyataan daripada kumpulan berkenaan lagi.
Kesemua lapan resolusi tersebut diluluskan dengan sokongan lebih 99.6% undian memihak kepada cadangan dikemukakan dengan hanya seorang pemegang saham menentangnya. - DagangNews.com








