Pemegang saham pilih semula Pengerusi Saudigold, Datuk Arjunaidi sebagai ahli Lembaga Pengarah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemegang saham pilih semula Pengerusi Saudigold, Datuk Arjunaidi sebagai ahli Lembaga Pengarah

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 9 Jan — Majoriti besar pemegang saham Saudigold Group Berhad menyokong pemilihan semula Pengerusinya, Datuk Arjunaidi Mohamed sebagai ahli Lembaga Pengarah syarikat tersebut.


Keputusan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-17 kumpulan itu menyaksikan seramai 13 pemegang saham mewakili 387,754,632 saham atau 97.85%  daripada keseluruhannya mengundi tokoh korporat ini.


Beliau, yang kini berusia 67 tahun, menyandang jawatan Pengerusi Saudigold pada 15 Januari 2023, selepas bersara wajib daripada perkhidmatan awam sebagai pegawai kanan polis selama 35 tahun.


"Bekas Ketua Polis Selangor itu beralih kepada arena korporat dan memainkan peranan penting dalam memimpin strategik syarikat, khususnya sektor berkepentingan," maklumnya kepada Bursa Malaysia.


Selain Arjunaidi yang juga lepasan Sarjana Sains Pengurusan Universiti Utara Malaysia, sebahagian besar pemegang saham meluluskan pemilihan semula Datin Ong Poh Lin Abdullah sebagai ahli lembaga. 


AGM itu turut menyaksikan majoriti menyokong pelantikan semula firma juruaudit Messrs Tai, Yapp & Co PLT untuk tahun kewangan akan datang dan memberi kuasa kepada lembaga menetapkan yuran mereka.


Di samping itu, pemegang saham menyetujui pembayaran yuran pengarah tidak lebih RM250,000 bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2026 dan faedah tambahan kurang RM36,000 sebelum AGM berikutnya.


"Mesyuarat juga meluluskan resolusi untuk memberi kuasa kepada Lembaga Pengarah mengeluarkan dan memperuntukkan saham baru sehingga 10% daripada jumlah saham diterbitkan syarikat," katanya.


Pengumuman rasmi berhubung keputusan pengundian ketika AGM diadakan di Petaling Jaya, Selangor itu disahkan oleh Symphony Corporate Services Sdn Bhd, sebagai pemeriksa bebas dilantik syarikat.


Saudigold yang asalnya dikenali sebagai Saudee Group Berhad, ditubuhkan pada 1985 dengan ibu pejabat di Sungai Petani, Kedah dan terlibat dalam industri produk makanan halal. - DagangNews.com