KUALA LUMPUR 12 Jan — Majoriti besar pemegang saham UWC Berhad memilih semula Datuk Wan Hashim Wah Jusoh sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM).
Beliau menerima sokongan 142 pemegang saham mewakili 954,776,222 saham atau 99.14% berbanding 13 daripadanya menolak resolusi itu ketika pengundian di Hotel Bayview, George Town, Pulau Pinang.
Kelulusan tersebut mencerminkan keyakinan kukuh para pemegang saham terhadap kepimpinan dan peranan beliau dalam tadbir urus syarikat itu yang ditubuhkan sejak 1990 dan disenaraikan pada 2019.
"Kesemua enam resolusi diterima majoriti pemegang saham, dan keputusan pengundian disahkan Value Creator Consultancy selaku pemeriksa bebas dilantik syarikat," maklum UWC kepada Bursa Malaysia.
Wan Hashim, 68, ialah graduan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Ekonomi Sumber, Universiti Putra Malaysia (UPM) sebelum menyertai Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) selama 34 tahun.
Beliau yang bersara daripada agensi berkenaan pada 2017, dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah UWC sejak 2018 dengan menjadi anggota Jawatankuasa Audit, Imbuhan, Pencalonan dan Pengurusan Risiko.
Selain itu, AGM kali kelapan tersebut turut meluluskan pemilihan semula Datuk Lau Chee Kheong dan Datuk Seri Lee Teong Li sebagai anggota Lembaga Pengarah masing-masing dengan sokongan lebih 99.9%.
Mesyuarat itu turut meluluskan pembayaran yuran dan manfaat pengarah kepada pengarah bebas bukan eksekutif sehingga RM210,000 bagi tempoh bermula 10 Januari 2026 hingga AGM yang seterusnya.
Di samping itu, 150 pemegang saham turut menyokong resolusi pelantikan semula BDO PLT sebagai juruaudit luar bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2026, berbanding hanya lima yang menolaknya.
AGM juga meluluskan mandat bagi pengarah memperuntukkan saham baharu selaras Akta Syarikat 2016, walaupun resolusi tersebut menerima tahap sokongan lebih rendah iaitu 91.14%. - DagangNews.com








