KUALA LUMPUR 12 Mei — Majoriti pemegang saham Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad (MHB) bersetuju terus mengekalkan Mohammad Suhaimi Mohd Yasin sebagai Pengerusi.
Mereka juga menyokong usul pemilihan semula beliau memegang jawatan Pengarah Bebas Bukan Ekesekutif sejak dilantik pada 16 Oktober 2023, dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-37 syarikat.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MHB berkata, Resolusi 3 melibatkan usul itu dilaksanakan mengikut Peraturan 21.8 Perlembagaan syarikat diluluskan dengan menerima sokongan 99.94% undi.
Seramai 2,463 pemegang saham mewakili sejumlah 1.27 bilion saham kumpulan tersebut menyokong usul berkenaan berbanding hanya 147 pemegang saham mewakili kira-kira 822,027 saham yang membantah.
"Mohammad Suhaimi, 64, turut merupakan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif MISC Berhad, serta pernah berperanan di beberapa syarikat antaranya di PETRONAS dan Alam Maritime Resources Berhad," katanya.
Beliau merupakan graduan Sarjana Pentadbiran Perniagaan Saint Louis University di Amerika Syarikat (AS) selepas memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains (Perakaunan) dari Indiana State University di AS.
MHB berkata, semua resolusi dibentangkan pada AGM di InterContinental Kuala Lumpur dan secara dalam talian menerusi platform Boardroom Smart Investor Portal diluluskan melalui proses pengundian.
Turut diluluskan ialah pemilihan semula Mohammad Salmi Abdullah, Puspa Hanita Abd Aziz dan Azhar Noordin masing-masing sebagai anggota dalam Lembaga Pengarah kumpulan kejuruteraan berat marin itu.
Majoriti pemegang saham syarikat berkenaan selain itu turut meluluskan pembayaran imbuhan pengarah bukan eksekutif berjumlah RM2.29 juta bagi tempoh sehingga AGM yang seterusnya pada 2027 kelak.
"Di samping itu, firma pengauditan Ernst & Young PLT juga dilantik semula sebagai juruaudit syarikat berkenaan bagi tahun kewangan yang akan berakhir pada 31 Disember 2026," jelasnya lagi.
MHB turut memaklumkan penyata kewangan teraudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 bersama laporan pengarah dan juruaudit sudah dibentangkan serta diterima dalam AGM tersebut.
Keputusan pengundian kesemua enam resolusi berkenaan kemudian disahkan oleh SKY Corporate Services Sdn Bhd selaku pemeriksa bebas rasmi yang dilantik syarikat itu. - DagangNews.com








