KUALA LUMPUR 29 Jun - Pembinaan kapal misi pelbagai guna kedua (MPMS 2) milik Maritim Malaysia (APMM) bermula apabila peletakan lunas (keel laying) berjaya dilaksanakan di Limbungan DESAN, Istanbul, Turkiye.
Peletakan lunas itu menandakan bermulanya pembentukan struktur utama MPMS 2, sekali gus menjadi satu daripada fasa penting dalam proses pembinaan kapal tersebut.
Majlis itu dihadiri pengurusan tertinggi DESAN bersama Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Ahmad Amiri Abu Bakar dan wakil Kementerian Dalam Negeri, Shah Rizan Mohamad Sirat.
Turut hadir wakil APMM, Laksamana Pertama Maritim Zulinda Ramly serta Atase Pertahanan Malaysia di Turkiye, Kolonel Sazili Ghazali.

Pengerusi Lembaga Pengarah DESAN, Cenk İsmail Kaptanoğlu dalam kenyataan memberitahu, projek pembinaan kapal tersebut kini berjalan lebih awal daripada jadual yang dirancang.
Menurut beliau, kemajuan projek itu mencerminkan hubungan strategik yang semakin kukuh antara Turkiye dan Malaysia dalam bidang pertahanan dan keselamatan maritim.
“DESAN komited membawa kepakaran kejuruteraan serta teknologi terkini industri pertahanan Turkiye bagi memperkukuhkan keupayaan maritim Malaysia melalui projek berimpak tinggi itu,” ujarnya.
MPMS 2 yang dibina sepanjang 99 meter bakal menjadi kapal terbesar dan paling berkeupayaan dalam armada APMM apabila siap kelak.


Kapal itu akan dilengkapi bot pemintas berkelajuan tinggi, kenderaan permukaan tanpa pemandu (USV) serta sistem pesawat tanpa pemandu (UAV).
Kontrak MPMS 2 dimeterai pada April lalu merupakan sebahagian usaha berterusan kerajaan mempertingkat aset dan kesiapsiagaan APMM.
Pembelian ini diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, 'Rolling Plan' kelima pada 2025 dengan nilai AS$83.75 juta (RM331.36 juta).
Tempoh pembinaan kapal adalah selama 24 bulan dengan jangkaan untuk diserahkan kepada APMM pada awal tahun 2028.


Sementara itu dalam perkembangan sama, tiga pegawai APMM telah dihantar ke Turkiye sebagai pasukan projek MPMS 2 bagi memantau pembinaan aset strategik berkenaan.
Mereka telah berlepas ke Turkiye pada 24 Jun lalu.
Ketiga-tiga pegawai itu akan bertindak sebagai wakil kerajaan Malaysia bagi memantau setiap fasa pembinaan kapal MPMS 2 sehingga siap sepenuhnya.
Mereka juga bertanggungjawab mengesahkan proses pembinaan serta memastikan projek dilaksanakan mengikut spesifikasi teknikal, jadual pembinaan dan syarat kontrak yang ditetapkan. - DagangNews.com








