KUALA LUMPUR 29 Jun – Prospek jangka panjang Insights Analytics Bhd dilihat terus cerah apabila syarikat itu berada pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan peningkatan pelaburan dalam infrastruktur air dan pendigitalan sektor utiliti, sekali gus menjadikannya antara penerima manfaat utama daripada transformasi industri air negara.
CIMB Securities berkata, prospek pertumbuhan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2027 (FY27) akan terus dipacu oleh perniagaan teknologi air, dengan keuntungan bersih teras dijangka berkembang 20.4%.
Menurut firma penyelidikan itu, pertumbuhan tersebut disokong oleh pelaksanaan lebih banyak kontrak berkaitan sektor air susulan usaha kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mempertingkat pelaburan dalam menaik taraf infrastruktur bekalan air, mengurangkan kadar Air Tidak Berhasil (NRW) serta mempercepat pendigitalan operasi utiliti.
"Insights Analytics berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang ini berikutan penguasaan pasarannya di Sarawak serta penglibatan dalam pelbagai inisiatif di bawah Pelan Hala Tuju Transformasi Sektor Air 2040 dan Belanjawan 2026," katanya dalam nota penyelidikan.
Firma itu berkata, keterlihatan pendapatan syarikat kekal kukuh dengan buku tempahan dianggarkan bernilai antara RM80 juta hingga RM85 juta setakat Mei 2026, selain saluran tender berjumlah sekitar RM700 juta hingga RM800 juta, yang sebahagian besarnya terdiri daripada projek berkaitan bekalan air.
Selain itu, sekitar 40% hingga 50% hasil kumpulan dijangka terus disumbangkan oleh kerja-kerja berskala kecil dan kontrak ad hoc yang tidak bergantung kepada buku pesanan, sekali gus memberikan fleksibiliti kepada aliran pendapatannya.
Dalam perkembangan lain, CIMB Securities melihat kemasukan pertama syarikat ke dalam sektor utiliti tenaga sebagai langkah strategik yang mampu memperluaskan pasaran boleh diterokai, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sektor air dalam jangka panjang.
Pada masa sama, firma itu turut melihat potensi pertumbuhan baharu menerusi pembangunan rumusan digital twin hasil kerjasama dengan syarikat teknologi China, 51WORLD.
Bagaimanapun, sumbangan segmen Intelligent Asset Management Solutions (IAMS) dijangka mengambil masa untuk diterjemahkan kepada pendapatan memandangkan tempoh penukaran projek yang lebih panjang.
Sehubungan itu, CIMB Securities menyemak turun unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi FY27 dan FY28 antara 9.8% hingga 10% bagi mengambil kira pemulihan yang lebih perlahan dalam segmen IAMS.
"Semakan ini tidak mengubah pandangan positif kami terhadap prospek pertumbuhan syarikat yang dipacu oleh perniagaan teknologi air, sebaliknya hanya mencerminkan pendekatan lebih konservatif terhadap kadar pengewangan IAMS dalam tempoh terdekat," katanya.
Firma penyelidikan itu turut mengekalkan saranan 'Beli' ke atas Insights Analytics kerana syarikat berkenaan menawarkan pendedahan unik kepada tema pendigitalan utiliti di Malaysia serta mempunyai kedudukan yang kukuh dalam pembangunan infrastruktur air negara.
Bagaimanapun, harga sasaran diturunkan kepada RM1.95 sesaham daripada RM2.10, berdasarkan gandaan nisbah harga kepada pendapatan (PER) 18.5 kali bagi 2027 yang dikekalkan.
Menurut CIMB Securities, penilaian semasa saham itu masih menarik pada sekitar 13 kali pendapatan 2027, disokong oleh dua enjin pertumbuhan utama iaitu teknologi air dan penyelesaian pengurusan aset pintar yang dijangka menyumbang kepada pertumbuhan jangka panjang syarikat. - DagangNews.com








