KUALA LUMPUR 29 Jun - Kontraktor bagi projek LRT Laluan Shah Alam berdepan liabiliti bayaran denda kelewatan (liquidated damages) sebanyak RM2.729 juta bagi setiap hari kelewatan projek, kata Kementerian Pengangkutan.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata projek tersebut dilaksanakan secara kontrak turnkey harga tetap, sekali gus tidak melibatkan sebarang peningkatan kos walaupun berlaku kelewatan pelaksanaan.
“Tiada kenaikan kos kerana projek ini dilaksanakan di bawah kontrak turnkey harga tetap.
“Malahan, kontraktor perlu membayar RM2.729 juta sebagai denda bagi setiap hari projek ini lewat disiapkan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Projek bermula sejak 2013, pernah dihentikan sementara
Projek LRT Laluan Shah Alam oleh Prasarana Malaysia Berhad mula diumumkan pada 2013, dengan kerja pembinaan bermula pada 2016.
Bagaimanapun, projek tersebut dihentikan sementara pada 2018 bagi tujuan semakan semula susulan perubahan kerajaan serta kebimbangan terhadap aspek pembiayaan.
Sebanyak lima stesen yang dirancang turut digugurkan sebagai langkah penjimatan kos pada tahun yang sama.
Kapasiti penumpang dijangka mencukupi hingga 2040
Menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat, Hasbi berkata sistem sedia ada masih mempunyai kapasiti mencukupi untuk memenuhi unjuran permintaan sehingga sekitar tahun 2040.
Beliau berkata purata jumlah penumpang harian dijangka meningkat kepada 67,260 orang pada 2026, 126,000 orang (2030), 219,100 orang (2040) dan 324,000 orang (2050).
“Justeru, kita yakin sistem ini mampu menampung permintaan semasa dan sederhana jangka panjang.
“Namun begitu, projek ini turut melibatkan fasa kedua. Fasa semasa bertujuan memenuhi permintaan sehingga 2030.
“Di bawah fasa kedua, perancangan adalah untuk menambah lima stesen baharu serta tujuh set tren tambahan,” katanya.
Lima stesen baharu diumumkan, peluasan fasa kedua
Pada Ahad (28 Jun), kerajaan mengumumkan bahawa Laluan LRT Shah Alam akan diperluaskan dengan penambahan tujuh set tren dan lima stesen baharu bagi memperkukuh kapasiti serta kesalinghubungan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pembinaan lima stesen baharu itu dijangka bermula pada suku keempat tahun ini selepas mendapat kelulusan Kementerian Kewangan.
Lima stesen baharu tersebut ialah Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik.
Projek LRT Laluan Shah Alam bernilai RM16.63 bilion itu dijangka membawa sekitar 67,000 penumpang sehari pada tahun pertama operasi, dan mula beroperasi hari ini. - DagangNews.com








