TA Securities: Beshom berdepan tahun sukar pada FY27 akibat perbelanjaan pengguna masih lemah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TA Securities: Beshom berdepan tahun sukar pada FY27 akibat perbelanjaan pengguna masih lemah

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 29 JunBeshom Holdings Berhad dijangka berdepan persekitaran operasi mencabar pada tahun kewangan 2027 (FY27) susulan perbelanjaan pengguna yang masih lemah, kata TA Securities.

 

Tambah firma penyelidikan tersebut, penyusutan jumlah pengedar serta persaingan industri yang semakin sengit turut dikhuatiri memberi tekanan kuat kepada segmen pemasaran pelbagai peringkat (MLM).

 

Ujarnya, sentimen pengguna yang perlahan akibat tekanan inflasi semasa dijangka terus menjejaskan produktiviti pengedar dan nilai transaksi pelanggan, sekali gus melemahkan lagi peruncitan syarikat.

 

"Justeru, kami mengekalkan saranan 'jual' saham Beshom dan harga sasaran (TP) turun kepada 56 sen daripada 58 sen, serta unjuran hasil FY27 dan FY28 masing-masing jatuh 4.3%," jelas TA Securities.

 

Katanya, berdasarkan keputusan FY26, prospek FY27 bagi segmen MLM dan peruncitan dijangka kekal mencabar berikutan penyusutan asas pengedar serta perbelanjaan pengguna yang lebih berhati-hati.

 

Bagi tempoh suku keempat berakhir 31 Mac 2026 (4QFY26) tambahnya, keuntungan teras kumpulan itu merosot 7.6% tahun ke tahun (YoY) kepada RM2 juta, manakala hasil susut 1.6% kepada RM35.4 juta.

Beshom_DagangNews2026

 

Prestasi Beshom lebih lemah itu menurut TA Securities, sebahagian besarnya disebabkan faktor jualan lebih perlahan dalam segmen MLM berikutan tahap produktiviti ahli Beshom yang semakin rendah.

 

"Selain itu, peningkatan peruntukan bagi inventori pula didapati bergerak perlahan dan kos operasi yang lebih tinggi dicatatkan kumpulan ini dalam segmen borong," ujar firma penyelidikan berkenaan.

 

Secara kumulatif, keuntungan teras FY26 merosot 17.4% berbanding FY25, dipengaruhi oleh jualan MLM yang lebih lemah walaupun pelbagai inisiatif promosi dan kempen insentif sudah giat dilaksanakan.

 

Jualan segmen peruncitan Beshom kata TA Securities, turut menyusut 8.7% berikutan sumbangan rendah produk jenama sendiri dan herba bernilai tinggi yang kelaziman menawarkan margin keuntungan baik.

 

Bagi FY26, syarikat mengumumkan dividen akhir sebanyak 1.5 sen sesaham, serta menjadikan jumlah pembayaran dividen bagi tahun tersebut sebanyak 2.5 sen sesaham berbanding 4 sen sesaham pada FY25.

 

"Kumpulan ini merancang memperkenalkan banyak inisiatif pemasaran bersasar serta strategi insentif baharu bagi meningkatkan lagi produktiviti ahli dan merangsang perbelanjaan pelanggan," jelasnya.

 

Pada masa sama, TA Securities menjangka segmen borong, yang merupakan penyumbang utama keuntungan Beshom, kekal berdaya tahan pada FY27 disokong inisiatif pengoptimuman kos. - DagangNews.com