Pembelian sistem pertahanan udara baharu jadi tumpuan MINDEF pada RMK13 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pembelian sistem pertahanan udara baharu jadi tumpuan MINDEF pada RMK13

Sistem pertahanan udara IRIS-T.
Analisis Berita oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 3 Okt – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memiliki sistem persenjataan pertahanan udara baharu berikutan pembeliannya telah ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

 

Ia antara fokus Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam perancangan untuk memperkukuh keupayaan pertahanan udara negara.

 

Ini menerusi perolehan sistem pertahanan udara aras sederhana (Medium Range Air Defence - MERAD) dan meriam artileri pertahanan udara yang akan dibuat antara tahun 2026-2030.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Perolehan ini antara inisiatif yang dinanti-nantikan dalam usaha memodenkan ATM khususnya dalam menangani ancaman udara yang semakin kompleks.

 

Meriam
KM-SAM.

 

Sistem MERAD bakal dioperasikan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), manakala sistem meriam artileri pertahanan udara akan diguna Tentera Darat Malaysia. 

 

Ancaman serangan udara kini tidak lagi terhad kepada pesawat tetapi juga sistem dron.

 

Difahamkan, MINDEF berhasrat untuk mendapatkan meriam pertahanan udara jenis mudah gerak atau self-propelled air defence gun (SPAD).

 

Mengoperasikan sistem jenis ini selari dengan keperluan mobiliti dan tindak balas pantas dalam situasi konflik.

 

Setakat ini, jenis sistem yang bakal dibeli serta negara pengeluar masih belum diperincikan. 

 

Kenderaan
Turutan gambar bagaimana peluru berpandu KM-SAM selepas dilancarkan.

 

Kenderaan
Sistem IRIS-T menjadi pilihan tentera negara NATO.

 

Begitu juga dengan anggaran kos keseluruhan perolehan yang masih belum diumumkan secara rasmi.

 

Walaupun MINDEF belum mengumumkan sistem yang bakal dipilih, pemerhati pertahanan menjangkakan beberapa calon berpotensi tinggi berdasarkan trend serantau, hubungan diplomatik, dan keperluan teknikal ATM.

 

Beberapa sistem MERAD yang berkemungkinan dipertimbangkan termasuk IRIS-T SLM buatan Jerman.

 

Sistem peluru berpandu ini digunakan oleh beberapa negara NATO. IRIS-T terkenal dengan keupayaan peluru berpandu jarak sederhana yang modular dan boleh beroperasi secara integrasi.

 

Paling disebut-sebut adalah KM-SAM iaitu sistem peluru berpandu pertahanan udara jarak sederhana dari Korea Selatan yang juga dikenali sebagai Cheongung.

 

Meriam
Sistem KS-1C buatan China.

 

KM-SAM merupakan sistem canggih yang dibangunkan oleh LIG Nex1 dengan bantuan teknikal dari Rusia, serta menggabungkan teknologi dari Barat dan Rusia.

 

Sistem CAMM-ER buatan UK/Itali pula turut digunakan oleh beberapa negara Eropah, menawarkan kelebihan dalam pelancaran menegak dan integrasi kepada pelbagai platform.

 

Tidak ketinggalan adalah sistem KS-1C buatan China yang mana ia dilihat sebagai satu alternatif yang mungkin dipertimbangkan jika melihat pada faktor harga dan teknologi.

 

Bagi sistem artileri mudah gerak, beberapa calon yang mungkin termasuk dalam senarai MINDEF adalah K30 Biho (Korea Selatan).

 

Sistem ini gabungan meriam dan peluru berpandu jarak dekat, sangat sesuai untuk operasi mobil dan telah digunakan secara aktif.

 

Meriam
K3 Biho.

 

Meriam

 

 

K30 Biho menggunakan dua laras meriam automatik kaliber 30mm yang diintegrasikan dengan radar penjejak bagi menangkis serangan udara.

 

Türkiye pula menawarkan sistem KORKUT yang dibangunkan khusus untuk pertahanan udara yang berkesan bagi pasukan mekanis dan unit bergerak.

 

Sistem ini mempunyai keupayaan menembak semasa bergerak dengan turet meriam yang stabil dan tanpa dikendalikan kru.

 

Sistem KORKUT dilengkapi dua laras meriam automatik kaliber 35mm Oerlikon KDC-02 yang dikeluarkan secara berlesen oleh MKEK.

 

Ini memberi kelebihan kepada ATM yang telah berpengalaman mengendalikan meriam jenis sama tetapi varian terdahulu sejak 30 tahun lalu yang mana konsep dan pengendalian mekanikalnya adalah sama.

 

Meriam
Sistem meriam KORKUT.

 

Pesawat

 

Sistem Meriam KORKUT yang menggunakan peluru 35mm Airburst meningkatkan keberkesanan pertahanan menghadapi ancaman udara moden.

 

Kelebihan lain adalah sistem ini dipasang di atas kenderaan perisai FNSS ACV-AD iaitu kerangka badan sama seperti kenderaan perisai ACV Adnan milik Tentera Darat.

 

 

 

 

 

 

 

 

ACV Adnan dihasilkan secara pemasangan tempatan melibatkan kerjasama FNNS dengan syarikat DRB-HICOM DEFTECH.

 

Meriam
Anggota Tentera Darat Malaysia mengendalikan meriam Oerlikon 35mm semasa latihan.

 

Ketika ini ATM masih bergantung kepada sistem pertahanan udara sedia ada yang terhad dari segi jangkauan dan keupayaan integrasi moden. 

 

Sehubungan itu, perolehan MERAD dan SPAD ini dijangka akan memberi lonjakan besar kepada keupayaan pertahanan udara negara, sekali gus memperkukuh keselamatan ruang udara Malaysia. - DagangNews.com