Pembelian sistem peluru berpandu antikapal Naval Strike Missile (NSM) dapat memberi sengat baharu pada armada TLDM, sekali gus meningkatkan keupayaan pertahanan maritim negara.
Kontrak pembekalan dua set pelancar NSM ini dimeterai pada LIMA 2025 bulan lalu membabitkan kos kira-kira RM44 juta.
NSM merupakan peluru berpandu serangan permukaan ke permukaan jarak sederhana yang dibangunkan oleh syarikat Norway, Kongsberg Defence & Aerospace.
Peluru berpandu pintar ini boleh ditembak ke sasaran pada jarak antara 185 kilometer (km) sehingga 250km bergantung kepada profil penerbangan.

NSM telah digunakan obeberapa negara termasuk Norway, Poland, AS, UK, Jerman dan Malaysia sebagai pengguna terbaharu untuk pertahanan maritim.
Walaupun kontrak perolehan NSM oleh Kementerian Pertahanan (Mindef) ini tidak menyatakan dengan terperinci, namun ia dipercayai bagi program naik taraf kapal frigat kelas Lekiu, KD Jebat.
Sistem persenjataan ini untuk menggantikan peluru berpandu antikapal Exocet MM40 Block II yang dilengkapkan pada KD Jebat sejak kapal ditauliahkan pada November 1999.
Integrasi sistem NSM adalah sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan keupayaannya.
Asalnya, pembelian peluru berpandu NSM untuk kapal tempur pesisir (LCS) kelas Maharaja Lela.


Malangnya, projek LCS yang masih dalam pembinaan setelah berlaku kelewatan menyebabkan perkara itu tertangguh.
Kongsberg telah memperoleh kontrak €125 juta (£109 juta) pada 2018 untuk membekalkan peluru berpandu ini kepada TLDM.
KD Jebat ialah satu daripada dua frigat kelas Lekiu yang dibina syarikat UK, Yarrow Shipbuilders (BAE Systems Surface Ships).
Kapal seberat 2,300 tan berukuran 106 meter panjang ini menjadi aset utama dalam armada TLDM kerana mempunyai sistem persenjataan yang ampuh.


Selain Exocet MM40 Block II, KD Jebat mempunyai 16 pelancar sistem peluru berpandu pertahanan udara Sea Wolf dan dua pelancar torpedo antikapal selam Eurotorp B515.
KD Jebat yang membawa 146 anak kapal termasuk 18 pegawai juga mempunyai kemudahan untuk mengendalikan helikopter antikapal selam (ASW) Super Lynx Mk.100.
Dalam pada itu, sumber dalaman industri pertahanan turut membayangkan kemungkinan rancangan TLDM menaik taraf kapal peronda generasi baharu (NGPV) dengan peluru berpandu NSM
Sejak beberapa tahun lalu, rancangan untuk menaik taraf kapal-kapal NGPV kelas Kedah ini mendapat perhatian kerana kapal tersebut sejak dibina tidak mempunyai sistem persenjataan yang komprehensif.


Enam buah kapal kelas ini hanya mempunyai selaras meriam utama Oto Melara 76mm dan satu meriam Breda-Mauser 30mm.
Sebahagian kapal-kapal kelas Kedah pula ditempatkan di Malaysia Timur bagi melaksanakan rondaan di Laut China Selatan.
Jika sekurang-kurangnya TLDM menaik taraf dua buah kapal NGPV dengan sistem NSM, ini adalah lebih baik berbanding kapal tanpa senjata peluru berpandu.
Walaupun dua daripada lima kapal LCS sedang disiapkan, namun TLDM tidak boleh bergantung sepenuhnya kerana tempoh menyiapkan kesemua kapal masih panjang.


Mengikut rekabentuk kapal, NGPV mempunyai geladak untuk dipasang dengan sistem peluru berpandu antikapal dan pertahanan udara bagi menjadikan keupayaan kapal seperti sebuah frigat ringan.
Itu juga merupakan idea asal semasa pembinaan kapal NGPV yang mana faktor kos menyebabkan sistem persenjataan lain akan dipasang pada masa hadapan.
Kaedah ini dikatakan sebagai ideal apabila negara dapat memperoleh sistem persenjataan yang terkini, sebaliknya penangguhan untuk melengkapkan senjata pada NGPV menjadikan kapal itu tidak berbisa.
Sepatutnya sebagai kapal peronda, NGPV mempunyai sistem persenjataan yang ampuh supaya ‘bakal’ musuh berhati-hati untuk mendekati perairan negara. - DagangNews.com







