Tentera Darat akan menguasai satu lagi kemahiran operasi baharu apabila menerima hoverkraf sebagai kenderaan pengangkutan untuk tugas maritim.
2 daripada 6 buah hoverkraf yang dibeli Kementerian Pertahanan (Mindef) akan diserahkan oleh pihak pembekal kepada Tentera Darat pada Oktober ini.
Tentera Darat memilih hoverkraf model Kaiman atau nama tempatannya Salamander buatan firma Airlift Hovercraft Pty Ltd yang berpangkalan di Queensland, Australia.
Fasa kedua membabitkan baki 6 buah lagi hoverkraf pula akan diterima pada Oktober tahun hadapan.


Walaupun jumlah pembelian 6 buah hoverkraf ini kecil tetapi sebagai permulaan ia dilihat memadai.
Ia dilihat langkah awal untuk menguasai kemahiran dalam operasi hoverkraf khususnya dalam operasi taktikal.
Rancangan perolehan hoverkraf untuk Tentera Darat diumumkan pada pembentangan belanjawan negara pada tahun 2023.
Tentera Darat tidak pernah memiliki aset ini, sehubungan itu rancangan mendapatkan hoverkraf dilihat satu perkembangan baharu.
Dengan persekitaran operasi yang melibatkan kawasan perairan, pulau-pulau dan tasik maka keputusan untuk menambah hoverkraf sebagai aset ketenteraan adalah praktikal.


Sebelum ini kontrak membekalkan 6 buah hoverkraf Tentera Darat bernilai RM20.37 juta telah dimenangi syarikat tempatan, IDC Technologies Sdn. Bhd. (IDC Technologies) pada Januari lalu.
Kontrak itu meliputi membekal, menghantar, menguji dan mentauliah selama tiga tahun.
IDC Technologies akan membekalkan hoverkraf keluaran Airlift Hovercraft Pty Ltd yang berpangkalan di Queensland, Australia bagi model Kaiman atau nama tempatannya Salamander bagi perolehan ini.
Sepertimana mengikut syarat kontrak, syarikat tersebut akan melaksanakan kursus pengendalian kepada pasukan pengguna melibatkan anggota teknikal dan pengendali.

Ini bagi memastikan pengguna mahir mengendalikan hoverkraf tersebut termasuklah kru teknikal.
Hovercraft atau dikenali juga sebagai kenderaan kusyen udara (ACV) adalah kenderaan air yang menggunakan kuasa udara untuk bergerak merentasi air.
Hoverkraf model Salamander ini misalnya boleh memuatkan 10 anggota termasuk 2 pengendali.
Ia mampu bergerak pantas di atas air dan darat dengan minimum masa pengoperasian tujuh jam pada had kelajuan tanpa pengisian semula minyak.
Keupayaan ini memberi kelebihan pada aset tersebut digunakan untuk pelbagai operasi khas ketenteraan.



Antaranya misi penyusupan atau pendaratan pantas selain sesuai untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Hoverkraf itu juga boleh digunakan bagi operasi bukan ketenteraan termasuk bantuan kemanusiaan dan bencana seperti menyelamat mangsa banjir.
Dengan kekerapan kejadian banjir besar yang melanda negara maka aset seperti hoverkraf sangat diperlukan untuk membantu semasa bencana.
Walaupun pasukan pengguna tidak dinyatakan tetapi kemungkinan hoverkraf ini nanti digunakan oleh 10 Briged Para memandangkan ia mempunyai unit dalam pengkhususan operasi amfibia.
Briged Para juga sering melaksanakan operasi serangan amfibia menggunakan perahu tempur sedia ada selain terlibat dalam latihan serupa dengan tentera negara sahabat.
Berbanding menggunakan perahu tempur, penggunaan hoverkraf untuk mendaratkan anggota tentera ke pantai dilihat lebih sesuai dengan ciri-ciri amfibia kenderaan.
Penggunaan hoverkraf oleh Briged Para juga sesuai dengan peranannya sebagai pasukan atur gerak cepat ATM.
Ini melengkapkan keupayaan briged tersebut untuk beroperasi sebagai pasukan lintas udara, penyusupan menggunakan helikopter dan operasi taktikal amfibia. - DagangNews.com







