Pembedahan tertangguh semasa musim raya kembali dijalankan, sokong pemulihan IHH Healthcare pada 2H26 – Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pembedahan tertangguh semasa musim raya kembali dijalankan, sokong pemulihan IHH Healthcare pada 2H26 – Phillip Capital

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Mei – IHH Healthcare dijangka mencatat prestasi lebih kukuh pada separuh kedua 2026 selepas melalui kelembapan sementara pada awal tahun, menurut Phillip Capital yang masih mengekalkan saranan “Beli” ke atas saham kumpulan penjagaan kesihatan tersebut.

 

Firma penyelidikan itu menjelaskan prestasi suku pertama 2026 dijangka lebih lemah secara suku ke suku (QoQ), dengan anggaran keuntungan bersih teras sekitar RM470 hingga RM490 juta berbanding RM512 juta pada suku keempat 2025, terkesan oleh faktor bermusim di beberapa pasaran utama termasuk Malaysia, Singapura, Türkiye dan China.

 

“Antara faktor utama yang menekan prestasi awal tahun ialah musim perayaan seperti Tahun Baru Cina dan Hari Raya yang lazimnya menyebabkan penurunan sementara dalam kemasukan pesakit ke hospital, khususnya bagi prosedur elektif yang boleh dijadualkan semula.

 

“Bagaimanapun, kelemahan tersebut hanya bersifat sementara dan tidak mengubah prospek pertumbuhan jangka panjang IHH, dengan jangkaan pemulihan lebih ketara akan bermula pada separuh kedua 2026.

 

“Pemacu utama kepada pemulihan ini adalah peningkatan semula kemasukan pesakit dalam wad, lonjakan permintaan terhadap prosedur elektif, serta pemulihan penggunaan insurans kesihatan yang lazimnya lebih aktif pada separuh kedua tahun,” kata Phillip Capital dalam nota kajiannya.

 

Di Singapura, Hospital Mount Elizabeth (MEH) kekal sebagai penyumbang utama kepada pendapatan kumpulan, dengan fokus kepada kes-kes elektif bernilai tinggi yang melibatkan prosedur lebih kompleks serta kadar harga premium berbanding hospital biasa.

 

Hospital berkenaan kini sedang melaksanakan Projek Renaissance bernilai S$350 juta yang bertujuan menaik taraf kemudahan secara menyeluruh, termasuk penstrukturan semula wad, penambahbaikan fasiliti klinikal serta pengukuhan pengalaman pesakit.

 

Antara perubahan utama ialah pengembangan kapasiti bilik untuk seorang pesakit bagi memenuhi permintaan terhadap privasi yang lebih tinggi, di samping pengurangan bilik berkongsi serta mengekalkan sebahagian kecil bilik empat katil.

 

Harga bilik di MEH turut mencerminkan segmen premium hospital tersebut, dengan kadar bilik untuk seorang mencecah antara S$931 hingga S$6,388 semalam, manakala bilik empat katil berada sekitar S$309 setiap katil.

 

t

 

Transformasi ini turut disokong oleh pendigitalan melalui platform LizWorld yang mengintegrasikan perkhidmatan dalam bilik, maklumat pesakit serta fungsi layan diri digital yang meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan beban kerja kakitangan kejururawatan.

 

Dari segi operasi, kadar penggunaan katil (BOR) di Singapura menunjukkan turun naik ketara apabila susut di bawah 60 peratus pada suku pertama 2026 selepas berada di atas paras 60 peratus pada suku keempat 2025, sebelum kembali pulih sekitar 70 peratus pada April 2026.

 

Phillip Capital berkata terdapat gangguan sementara terhadap kemasukan pesakit akibat salah faham pasaran yang menyangka hospital tersebut ditutup selepas kerja-kerja ubah suai namun keadaan itu kini sedang dipulihkan melalui usaha pemasaran yang lebih agresif.

 

“Selain Singapura, operasi IHH di Malaysia, Türkiye, Eropah dan China turut dijangka menyumbang kepada pertumbuhan lebih stabil, dengan Malaysia disokong oleh pengembangan Island Hospital manakala Türkiye dan India dipacu oleh campuran kes lebih kompleks serta pengurusan kos yang lebih berdisiplin.

 

“Bagi tempoh 2026 hingga 2028, kami menjangkakan pertumbuhan keuntungan teras kumpulan berada pada kadar 14 hingga 17 peratus setahun, disokong oleh peningkatan volum pesakit, pemulihan pelancongan perubatan serta permintaan berterusan terhadap prosedur elektif di seluruh rangkaian hospital IHH,” katanya.

 

Dalam masa sama, firma itu mengekalkan saranan Beli dengan harga sasaran baharu yang lebih tinggi pada RM11.03 berbanding RM10.27 sebelum ini, selepas melaraskan horizon penilaian menggunakan gandaan EV/EBITDA tidak berubah pada 17 kali bagi segmen hospital.

 

Walaupun prospek kekal positif, Phillip Capital mengingatkan beberapa risiko utama masih wujud termasuk perubahan peraturan kesihatan, turun naik mata wang yang boleh menjejaskan pelancongan perubatan, peningkatan kos operasi, kelemahan permintaan sekiranya ekonomi perlahan serta persaingan yang semakin sengit dalam sektor hospital swasta.

 

Firma itu berpandangan prospek IHH dilihat kekal defensif dan berdaya tahan, disokong oleh kedudukan kukuh dalam segmen hospital premium serantau serta strategi pengembangan kapasiti dan pendigitalan yang berterusan.- DagangNews.com