KUALA LUMPUR 21 April — Pembangunan beberapa tanah perindustrian masih kekal sebagai antara pemacu hasil Eco World Development Berhad (ECW) dengan jualan terkumpul berjumlah RM6.7 bilion dicapai dari FY14 hingga 28 Februari 2025, kata PublicInvest.
Firma penyelidikan tersebut berkata, setakat ini, sejumlah lebih 1,400 pengusaha tempatan dan antarabangsa telah beroperasi di keseluruhan kawasan perindustrian diusahakan syarikat berkenaan yang turut dikenali sebagai Eco Business Park.
Dalam empat bulan pertama FY25 sahaja katanya, kumpulan itu merekodkan hampir RM1 bilion jualan antaranya pada Februari 2025 menerusi perjanjian tanah perindustrian yang telah ditandatangani dengan dua firma peneraju teknologi global.
Ia jelas PublicInvest, melibatkan pembangunan kawasan seluas 56 hektar di Eco Business Park I kepada Microsoft Payments (Malaysia) Sdn Bhd dan seterusnya 23 hektar pula lagi di Eco Business Park V kepada Pearl Computing Malaysia Sdn Bhd.
"Justeru, kami percaya bahawa rekod prestasi kumpulan ini dalam pelaksanaan pelbagai taman perindustrian adalah positif berdasarkan permintaan untuk tawaran tanah perindustriannya akan terus sihat," kata firma itu dalam nota kajiannya.
Terbaharu ia merujuk kejayaan ECW dapat bekerjasama dengan SD Guthrie Berhad dan sayap pelaburan Kerajaan Negeri Sembilan, iaitu NS Corporation menerusi pemeteraian perjanjian memorandum persefahaman pada Jumaat minggu lalu.
Kerjasama tiga pihak itu kata PublicInevst, adalah untuk membangunkan taman perindustrian yang berkeluasan 472 hektar di Bukit Pelanduk, serta dijangka mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.95 bilion.
Projek tersebut dinamakan sebagai Eco Business Park VII, dan sebuah syarikat akan dibentuk dengan ECW akan memegang 55 peratus, manakala anak syarikat penuh SD Guthrie, SD Guthrie Land Ventures Sdn Bhd pula memegang 30 peratus.
"Baki 15 peratus lagi akan dipegang oleh NS Corporation dan pada pandangan kami, kos tanah sebanyak RM572.8 juta adalah adil iaitu kira-kira 19.4 peratus daripada keseluruhan jumlah GDV tersebut," kata firma penyelidikan berkenaan.
Bagaimanapun tambahnya, tiada sebarang perubahan pada anggaran pendapatan ECW yang dinilai oleh PublicInvest buat masa ini sementara mereka turut menunggu butiran terperinci mengenai pelancaran rasmi projek perinduatrian tersebut.
Sehubungan itu, ia mengekalkan saranan "neutral" terhadap prospek syarikat berkenaan dengan harga sasaran (TP) sesaham pada RM1.90 atau kira-kira 10 peratus premium kepada nilai buku susulan konsistensi keuntungan dan hasil dividen. - DagangNews.com








