KUALA LUMPUR 28 April — Pembangunan pusat data (DC) berkapasiti melebihi 3 gigawatt (GW) dilihat berpotensi menjana nilai pembinaan sekitar RM90 bilion menjelang 2030, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan tersebut justeru melihat unjuran itu sebagai pemangkin utama kepada ledakan infrastruktur digital negara, dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab teknologi serantau.
Ujarnya, momentum pelaburan dalam sektor DC kekal kukuh walaupun berdepan ketegangan geopolitik dan krisis tenaga global, kerana disokong permintaan berterusan terhadap kecerdasan buatan (AI).
"Hasil semakan lapangan dan perbincangan dengan pemain industri menunjukkan permintaan masih kekal mampan, tanpa perubahan ketara terhadap pelan pelaburan sedia ada," kata RHB Research dalam nota.
Tambahnya, permintaan kukuh bagi beban kerja DC berkaitan teknologi AI terus menjadi pemacu utama mengimbangi kebimbangan pemaju ke atas rantaian bekalan elektrik dan peningkatan kos pembinaan.
Malaysia jelasnya, berada dalam kedudukan strategik untuk meraih manfaat daripada penstrukturan semula portfolio DC global, apabila syarikat antarabangsa mula mempelbagaikan lokasi pelaburan.
Kata RHB Research, faktor keselamatan infrastruktur, kestabilan politik serta rangka kerja dasar yang kukuh menjadikan Malaysia destinasi pilihan kurang berisiko bagi pembangunan DC baharu.

"Dari sudut kos, kami berpandangan ekonomi pembangunan DC masih kekal menarik walaupun berdepan peningkatan harga tenaga dan kekangan rantaian bekalan, disokong kelebihan kos tempatan," ujarnya.
Negara ini juga tambahnya, menawarkan tarif elektrik kompetitif di rantau ASEAN, dianggarkan AS$0.17 (67 sen) kilowatt sejam (kWh), yang membantu mengekalkan daya tarikannya kepada pelabur global.
Pada masa sama jelas RHB Research, gangguan rantaian stok akibat konflik luar, memanjangkan tempoh pengeluaran komponen seperti unit pemprosesan grafik (GPU) dan modul memori berprestasi tinggi.
Bagaimanapun tambah firma penyelidikan itu, penggunaan teknologi seperti sistem kitar semula helium secara tertutup berjaya mengurangkan risiko gangguan operasi dalam industri semikonduktor.
"Dari perspektif pelaburan, kami memilih Gamuda dan Sunway Construction sebagai penerima manfaat utama segmen pembinaan, disokong buku tempahan kukuh serta rekod pelaksanaan projek," katanya.
Sementara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dijangka meraih potensi peningkatan permintaan elektrik, manakala Telekom Malaysia Berhad memanfaatkan aset rangkaian gentian optik dan kabel dasar laut.
RHB Research namun mengingatkan beberapa risiko utama termasuk ketidaktentuan pulangan pelaburan berbanding kos modal, serta masalah daripada kawalan dasar yang lebih ketat. - DagangNews.com








